HUBUNGAN KAUM YANG PALSU DI MALAYSIA 2

HUBUNGAN KAUM YANG PALSU DI MALAYSIA 2

http://smzakir.blogspot.com

Sesuatu yang pasti di Malaysia pada masa sekarang ini ialah betapa sukarnya untuk melihat masyarakat daripada kaum yang berbeza menjadikan duduk berbual sambil makan bersama, berkunjung-kunjungan, menjalankan kegiatan sosial secara bersama sebagai rutin kehidupan atau gaya serta cara hidup mereka. Apa yang paling jelas kelihatan ialah setiap kaum akan berkelompok di dalam kaum masing-masing dan berhubungan dengan kaum lain apabila melibatkan keperluan dan kepentingan yang tidak dapat dielakkan. Ini memperlihatkan bahawa polarisasi kaum di Malaysia pada masa ini menjadi semakin kritikal. Dalam ertikata lain hubungan kaum di Malaysia semakin renggang dan diikat oleh hubungan-hubungan yang palsu. Dua bentuk hubungan antara kaum yang dilihat berlaku ialah hubungan yang melibatkan keperluan ekonomi dan hubungan yang melibatkan keperluan politik. Selain daripada itu setiap kaum memisahkan diri daripada kaum yang lain dan hidup memperkuatkan kepentingan diri serta kaum masing-masing.
Lebih malang lagi sukan dan budaya, iaitu dua bidang yang boleh memisahkan kepentingan ekonomi dan politik dalam membina hubungan antara kaum juga kini, secara tidak sedar semakin memperluaskan jurang dan berkecenderungan untuk berpecah serta berkelompok mengikut identiti kaum. Hubungan antara kaum yang erat dan mengesampingkan kepentingan ekonomi atau politik mungkin juga berlaku di Malaysia, tetapi dalam peratusan yang sangat kecil. Sebahagiannya berlaku secara jujur di kalangan masyarakat tetapi sangat kecil (termasuk ikatan perkahwinan). Sebahagian lagi berlaku secara kebetulan iaitu berlaku di kalangan golongan menengah atasan di bandar kosmopolis dan metropolis seperti Kuala Lumpur dan beberapa buah bandar lain. Namun di bandar metropolis seperti Georgetown, Johor Bharu, Ipoh hubungan kaum mula kelihatan menjadi hubungan yang palsu. Secara umumnya hubungan antara kaum dalam kelompok elit atau menengah atas terutama antara golongan yuppies yang liberal, sekular dan hedonistik adalah hubungan metropolis atau kosmopolis yang hanya dipunyai segolongan kecil elit yang berkongsi jiwa liberal, sekular dan hedonistik. Hubungan ini sebagai contoh mudah, mungkin terlihat dalam dunia seni seperti kumpulan filem indie, teater Inggeris, media elektronik (bloggers, laman web, dan sebagainya), media konvensional yang terkeluar daripada arus perdana dan forum-forum alternatif yang anti-establishment. Dalam kehidupan biasa hubungan ini melibatkan hubungan bersifat ekonomi dan kepakaran yang melibatkan kepentingan yang tidak boleh dielakkan. Jika boleh dielakkan mereka lebih memilih untuk berhubungan dengan kaum mereka sendiri.

Pemahaman budaya dan pegangan sesebuah kaum sekarang ini semakin jauh untuk difahami oleh kaum yang lain. Lebih malang lagi kejahilan dalam memahami budaya dan paling penting pegangan agama dilihat pula sebagai kebijaksanaan. Maka kejahilan yang dungu ini mula membina tafsiran yang tersendiri melalui pandangan atau andaian yang salah. Andaian salah ini berlaku apabila model pemikiran yang berkiblatkan Barat dan diikat oleh kepercayaan contohnya, ‘sosialisme-liberal ala-mazhab Frankfurt’ menjadi kanta untuk melihat segala perlakuan budaya dan pegangan agama yang ada di Malaysia. Sebagai contoh apabila muncul pemahaman bahawa sesiapa sahaja boleh mentafsir al-Quran, cukup untuk menjelaskan tentang kejahilan yang paling terkutuk telah berlaku pada hari ini. Sikap ‘hollier than thou’ golongan ini, atau yang merasakan mereka lebih bijak dan tahu daripada rakyat yang lain tidak membawa apa-apa yang baik dan bermanfaat untuk masyarakat. Maka mereka menjadi comprador Gramsci fasa kedua, yang berpaksikan ‘minda tertawan’ yang meletakkan kekaguman maha hebat terhadap liberalisme-sekular penjajah Barat. Hal ini menjadikan jurang perbezaan bahkan prasangka semakin besar.

Keadaan menjadi tambah buruk apabila muncul golongan intelektual yang ingin menjadi selebriti mengecohkan hal-hal yang berkaitan agama Islam, hak-hak bumiputera, ekuiti dalam dasar ekonomi serta perkara-perkara sensitif yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai konsensus yang dipersetujui bersama dalam membina sebuah Negara-bangsa Malaysia – maka hubungan kaum yang sedia nipis menjadi berkocak. Golongan intelektual ini sebenarnya ‘bodoh dan dungu’ lantaran melihat sesuatu isu itu tersebut hanya dalam cawan kopi atau teks kepakaran mereka tetapi bukannya konteks hubungan yang menyeluruh yang melibatkan implikasi sensitiviti kaum, hubungan sejarah, corak politik dan cara berfikir masyarakat. Memperagakan kehebatan mereka dalam kepakaran undang-undang, ekonomi, sains sosial dan sebagainya tidak menjadikan mereka pemikir yang bijak dalam mencorakkan keharmonian dalam masyarakat tetapi sebaliknya lebih menjadikan mereka sebagai skizofrenik yang mengalami suatu bentuk ‘celebrity complex’ yang gila untuk menonjolkan diri, masyhur dan terkenal.

Akibat daripada apa yang berlaku ini maka golongan politik, iaitu golongan yang dianggap arrogant, dungu dan korup oleh golongan intelektual dan masyarakat menyambar peluang untuk mempergunakan golongan intelektual, elit dan masyarakat seluruhnya demi kelangsungan kepentingan politik mereka. Maka tiba-tiba muncullah perjuangan untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Bahkan pemimpin politik yang tidak pernah memijak masjid atau tokong tiba-tiba menjadi jaguh dan pejuang ‘berani mati’ mempertahankan masjid, tokong atau kuil yang tidak pernah pun dipedulikan dalam realiti kehidupan mereka.
Suasana politik Malaysia hari ini masih tidak berubah dari suasana politik abad ke-20 apatah lagi mahu bergerak ke hadapan (sebaliknya sentiasa kembali untuk bergerak ke belakang). Ia masih berpegang kepada kuasa ajaib sentimen perkauman. Pemimpin parti GERAKAN yang tua itu apabila dicabar kepimpinannya, segera menimbulkan isu perkauman dan akhirnya mengekalkan kuasanya. Begitu juga dengan parti-parti BN yang lain MIC, MCA semuanya hidup dengan kejayaan memanipulasikan sentimen perkauman. MCA paling tidak pun cukuplah dengan isu bumbung sekolah SRJKnya. Paling jaguh tentunya UMNO. Tiba-tiba Perhimpunan Agung UMNO dipenuhi pejuang-pejuang jihad Melayu yang menjulang keris dan buku tangan untuk mempertahankan orang Melayu. Maka isu ekonomi yang merudum, rasuah, penyelewengan yang menggila pemimpin-pemimpin UMNO disapu ke bawah permaidani buruk sentimen perkauman. Sedangkan keistimewaan bumiputera pada hakikatnya adalah keistimewaan orang-orang UMNO dan bukannya keistimewaan orang-orang Melayu seluruhnya. Sebahagian besar orang Melayu mengalami nasib yang sama dengan kaum bukan Melayu malahan mungkin lebih buruk (jika ia dari pihak pembangkang) apabila mereka melalui proses biasa dalam menggelumangi hidup seharian.

Perbezaan seorang Melayu biasa dengan seorang Melayu UMNO untuk mendapat gerai atau tender memotong rumput dari mana-mana majlis daerah atau perbandaran seperti perbezaan seorang buta dan seorang celik yang berjalan di atas sebuah titi. Keistimewaan bumiputera juga merupakan sebuah silap mata yang unik.

Juga tidak ada bezanya dengan parti pembangkang. DAP yang kononnya parti demokratik tidak lebih daripada ‘old guard’ sentimen chauvinistik Cina yang paling kolot. Tanpa sentimen perkauman chauvistik Cina dan kaum bukan Melayu, DAP akan mati. Begitu juga dengan PAS, beberapa dekad memerintah Kelantan tetapi masih tidak dapat mewujudkan dirinya sebagai sebuah ‘government in waiting’. PAS hanya mampu untuk menjadi pembangkang dan hidup sebagai parti kampung dalam lingkungan daerah orang-orang Melayu. Keadilan pula, perjuangannya tamat apabila Anwar Ibrahim dibebaskan. Keadilan cuba menjadi ‘melange of social organization’ tetapi akhirnya tidak lebih daripada menjadi beca buruk dengan segala logo dan cap – kepala lembu patah tanduk, roda tanpa jejari, bulan tiga suku, tukul tanpa sabit, dacing senget, roket tanpa buntut – bercelaru untuk mempunyai segalanya.
Inilah realiti politik Malaysia, diktum yang mewakili ‘a (false) normative demand rather then empirical reality’. Dengan polarisasi kaum yang semakin kritikal, kejahilan untuk memahami budaya dan pegangan yang lain, sikap merasakan lebih bijak daripada yang lain, ketiadaan akar peribadi, ketololan mencipta tafsiran, kebodohan sejarah, kegilaan liberalisme-sekular hedonistik, celebrity complex, chauvinistik dan kedunguan memahami geo-historis akan membuatkan kepentingan-kepentingan politik yang kuno itu akan sentiasa hidup daripada kuasa ajaib sentimen perkauman.

One thought on “HUBUNGAN KAUM YANG PALSU DI MALAYSIA 2

  1. Dalam hal ini nampaknya masih belum ada penyelesaian. Sekian lama rakyat mengharapkan penyelesaiannya. Setuju dengan kenyataan sehingga kini cerdik pandai negara ini sebenarnya bengong lagi.

Tinggalkan komen