Mengapa saya benci masjid?

 


masjid_nabawi_big.jpg

Maszlee Malik

06:20pm 24 Mei 2005

Di dalam salah sebuah kuliah saya di universiti, saya sempat bertanyakan kepada anak-anak murid saya: “Di masjid manakah kamu menjadi AJK?”, bagaikan tsunami yang melanda mereka dikejutkan dengan soalan tersebut. Bunyinya teramat aneh, janggal lagi pelik. Samada yang bertanyakan itu seorang yang kurang waras, atau jahil dan binggung, ataupun yang ditanyakan itu yang tidak faham soalan. Secara ijmak mereka menjawab, “Kami bukannya orang tua!”. Hanya orang tua sahajalah yang layak memakmurkan masjid? Hanya orang-orang tua sahajalah yang berhak menentukaan hala tuju sesebuah masjid? Hanya orang-orang tua sahajalah yang berhak memonopoli pentadbiran sesebuah masjid? Walaupun di antara mereka itu tidak pernah muncul ke masjid kecuali menjelang pemilihan AJK sahaja? Lebih lucu lagi, di salah sebuah masjid, Jawatankuasa pembangunan belia dan remajanya, adalah seorang yang telah pun berusia 60 tahun…mungkin dia masih terasa dirinya remaja!

Ya, inilah realiti membosankan yang berleluasa di tanah air kita tecinta ini. Entah dari syariat mana mereka warisi tidak pula diketahui. Hanya orang-orang tua sahaja yang berhak berkuasa di masjid. Hanya orang-orang tua sahaja yang berhak menjadi pelanggan setia masjid. Hanya orang-orang tua (old guards) sahajalah yang berhak menentukan hala tuju sesebuah masjid. Jikalaulah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat tinggal di Malaysia di zaman ini, nescaya, bukan hanya sekadar para sahabat yang muda-muda seperti Ali, Ibnu Abbas, Ibnu Omar, Anas bn Malik sahaja yang tidak berhak untuk mentadbir masjid, malah Rasulullah S.A.W. juga pun tidak akan dapat diberikan ruang untuk mentadbir masjid, kerana bginda belum mencapai umur pencen ketika mendapat wahyu.

masjid-ubudiah.jpg

Fenomena ini tidak sekadar terhenti pada ruang pentadbiran masjid sahaja, malah dalam menentukan program-program masjid juga. Jika ada orang-orang muda yang nak berikan pendapat sedikit, pastilah mereka akan dilihat sebagai kurang ajar dan melebih-lebih. Doktrin “makan garam lebih dahulu” lebih didaulatkan daripada konsep syura yang diperkenalkan oleh Islam. Sebab itulah sering kia dengar pertentangan di antara golongan muda dengan golongan tua di masjid-masjid, samada di bandar-bandar mahupun di kampung-kampung. Pada pemikiran majoriti rakyat Melayu Muslim Malysia, orang-orang muda hanyalah buruh-buruh kasar masjid yang kerjanyan hanya untuk menurut patuh perintah golongan-golongan tua kariah. Bagaimana pula dengan golongan remaja pula?, mereka hanyalah pelanggan program-program masjid yang langsung tidak menepati selera generasi MTV yang diaturkan hasil ide lapisan tok wan dan nyang mereka sahaja. Itu tidak termasuk jerkah, tengking, sumpah seranah dan wajah-wajah bengis orang-orang tua terhadap mereka dan juga golongan kanak-kanak. Jika mereka tidak ke masjid pula, mereka akan dipersalahkan sebagai golongan yang bermasalah, bermoral rendah dan juga tidak mempunyai kesedaran. Pooorah!!!

Keadaan ini amat berlainan dengan keadaan muslim di ngara-negara maju. Masjid menjadi pusat komuniti masyarakat muslim di sana. Para remaja, muda-mudi bersama-sama golongan tua memeriahkan masjid yang sama-sama mereka miliki. Tidak pelik jika didapati jawatankuasa khas untuk remaja yang dianggotai oleh para remaja sahaja, pentadbiran oleh golongan-golongan muda, dan juga golongan tua pula bertindak sebagai penasihat. Tidak perlu pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura sahaja sudah cukup. Masjid-masjid di sana meriah dengan program-program untuk golongan muda dan juga remaja. Tidak pelik bagi mereka bagi sebuah masjid untuk mempunyai seorang manager dari kalangan orang muda, barisan AJK dari golongan profesional muda, youth developement officer bagi golongan remaja. Lebih menarik lagi, mereka mereka juga mempunyai acara sukan tahunan untuk para remaja secara “inter-masjid” yang melibatkan para remaja muslim dari seluruh Singapura. Sesuatu yang pelik bin ajaib bagi rakyat Muslim melayu Malaysia untuk mempercayainya.

Bukan hendak menafikan wujudnya usaha baik sesetengah masjid- masjid di ibu kota menganjurkan program-program untuk para remaja dan belia. Sayangnya, para remaja dan belia tersebut hanyalah sekadar menjadi peserta yang akan dipandang sepi selepas selesai sahaja program. Adapun masjid, ianya tetap kekal dimonopoli oleh golongan tua yang gila kuasa, terutamanya di tempat-tempat yang terdapat ramainya para Dato’ dan Tan Sri. Lebih memilukan lagi apabila golongan-golongan ini mempolitikkan jawatan-jawatan pentadbiran masjid. Akhirnya muncullah mereka-mereka yang kononnya berpengaruh di mata masyarakat kariah untuk mentadbir masjid, tetapi jahil tentnag hukum-hakam agama. Maka timbullah pentadbiran masjid ala korporat, ala pejabat kerajaan dan malah ala sebuah parti politik. Akhirnya masjid terus malap daripada dimakmurkan kerana banyak sangat protokol, birokrasi dan politik. Itulah realiti yang tidak boleh dinafikan berlaku di sekitar masjid-masjid di Lembah Kelang. Kadang-kadang saya tefikir, agaknya wujud atau tidak perebutan kuasa terhadap jawatan-jawatan “minister” di gereja-gereja milik orang Kristian. Ataupun jawatan sami-sami di kuil-kuil Buddha atau Hindu, ataupun jawatankuasa pentadbiran Guldhwara oleh orang-orang Sikh. Jika tidak wujud, alangkah malunya kita sebagai orang Islam yang menggunakan masjid untuk memuaskan nafsu politik dan gila kuasa kita.

Mentaliti ini perlu diubah segera. Seleras dengan kemajuan semasa, sistem pentadbiran masjid perlulah dirombak juga. Sepatutnya ada umur siling untuk para AJK masjid. Sepatutnya keutamaan diberkan kepada golongan muda untuk mempunyai peranan yang lebih demi menarik generasi muda ke masjid. Sepatutnya golongan remaja juga dilibatkan di dalam proses membuat keputusan bagi apa-apa program yang berkaitan dengan mereka. Sepatutnya para imam semua dibukakan minda mereka agar tidak terlalu tunduk kepada telunjuk golongan AJK-AJK masjid yang tua, gila kuasa dan terlalu tegar dengan idelisme pemikiran “outdated” mereka. Sepatutnya, tidak berlaku apa yang tidak sepatutnya berlaku seperti di Malaysia sekarang ini. Semua pihak perlu memainkan peranan mereka, terutamanya para aristokrasi di jabatan-jabatan agama yang masih berfikiran ala 60’an lagi.

Persoalannya, adakah ide semacam ini akan diterima oleh masyarakat Malaysia?, saya teringat seorang rakan saya, seorang penceramah dan juga seorang ustaz yang sudah agak mula dikenali ramai, pernah bertanyakan kepada saya apabila saya mengutarakan pendapat semacam ini, “Ada dalil dalam al-Quran ke?” Saya lantas tersenum sinis mengiktiraf kedangkalan otak beliau yang dililit kemas di sebalik serban besarnya. Apatah lagi masyarakat awam dan golongan old guards…

4 thoughts on “Mengapa saya benci masjid?

  1. salam.
    pada saya tajuk itu tak membina. membina persepsi negatif masyarakat kepada masjid akan membuatkan dan menyalahkan kaum tua tidak seharusnya berlaku. Kesedaran masyarakat terhadap agama banyak dibutakan dengan perkara dunia seperti hiburan, kerja dan aktiviti-aktiviti lain.

    Peranan kerajaan dalam merealisasikan peranan masjid ditagih kerana kerajaan dan pemerintahlah yang membentuk masyarakat semasa…

  2. terima kasih miji atas respon…
    mungkin ada pro dan kontra atas apa yang sdr Mazle malik ingin ketengahkan..
    Cuma nya ,kelesuan masjid tidak harus diletakkan kesalahannya pada kerajaan semata2, tanpa kita melihat faktor yang lain,
    mengapa golongan muda segan dan malu untuk datang ke masjid?

  3. sebab rancangan tv lagi best..
    sebab keje banyak sangat..
    sebab program sure heboh lebih menarik
    sebab ada bini comel
    sebab masjid jauh
    sebab malas
    sebab nak cepat..

    macam-macam sebab…
    kena tengok balik la latarbelakang pendidikan…
    kena tengok balik sikap dan peranan ibubapa
    kena tengok balik polisi kerajaan
    kena tengok balik peranan ajk masjid
    kena tengok balik sistem pendidikan
    kena tengok balik macam-macam perkara…

    so, banyak benda kena tengok.
    perkara pertama polisi kerajaan la..
    kalu Ust. Maszlee nak tengok masjid ramai, kena betulkan kerajaan dulu. Saya tidak dinafikan faktor-faktor lain…

  4. saya merasa kesian kepada sdra maszlee malik. isu ada tapi tajuk yg dipilih itu tidak boleh diketengahkan kepada umum sama sekali. adakah sekadar untuk jadi provokasi supaya umum nanti ‘kan membaca entri ini? seperti kebiasaan tulisan-tulisannya sebelum ini.

    Masjid kan izzah agama kita?

    tajuk itu ‘kan nanti memberi perspektif yg tidak baik kepada umum khusunya kepada masyarakat non-muslim. apa yg nak diselesaikan dalam hal ini? takut nanti perkara lain yg timbul sedang isunya tidak kunjung penyelesaian.

    Ulasan: Saya sebetulnya bersetuju dengan pandangan saudara Mazlee Malik, tiada niat untuk memburukkan beliau…Walau pun saya tidak bersetuju sekali pun, bukan tugas saya untuk mencerca orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s