Saya minta maaf

Lewat beberapa hari yang lalu, seorang teman rapat menghantar surat elektronik buat tatapan saya.

Sebagai penjelasan mengenai artikel saya di Cacatan Julai. Saya mungkin terlalu kasar dalam menerangkan maksud hati saya. Namun, sebagai manusia biasa saya mungkin melakukan kesilapan.

Catatan tahun 2019 ( 26Julai2019)

Masa begitu cepat meninggalkan kita. Kawan saya itu kini sudah menjadi pegawai di Parlimen Malaysia.

Saya masih lagi setia di Johor. Seperti dulu. Mengharungi kehidupan di bumi Temenggong ini.

Tinggal beberapa tahun lagi sebelum usia saya menjengah kematangan-40 tahun. Minat & kerakusan saya membeli dan membaca buku rasanya seperti dulu.

Kawan-kawan datang dan pergi. Malah sudah ada yang pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Zul, Mirzan dan yang lain-lainya telah melambaikan tangan meninggal dunia. Doa saya agar roh mereka di rahmati Allah.

Hidup perlu diteruskan walau di sisi mana kita berada. Lihatlah dunia dengan kebahagiaan walaupun derita sedang ditempuhi kerana hujan tidak selamanya kerana warna pelangi akan muncul selepas hujan yang panjang.

Sekadar coretan Februari 2014

Kadang kala kita terlepas pandang, apabila terlalu banyak berbicara pasti akan ada hati yang akan terluka. Begitu juga apa terlalu suka menulis di FB (baca twitter, whatsup dan lain-lain media sosial) akan ada juga hati yang akan terasa jauh dengan kita.

Isteri saya berulang kali menasihatkan saya supaya jaga  tutur bicara, usah terlalu sangat gemar mengomentari khayalak umum, kerana isteri saya sedikit sebanyak mengenali peribadi saya. Apakan daya, sebagai manusia biasa, apabila sesuatu itu tidak sependapat dengan cara, perwatakan atau pun prinsip saya, sudah tentu akan saya kemukakan sebagai satu pandangan peribadi dipihak saya.

 

Epilog seorang hamba

Saya tidak tahu berapa lama lagi platform wordpress ini akan wujud. Namun, saya tetap setia akan terus mencoret buat tinggalan masa depan.

Sejak 10 tahun yang lalu saya tetap menggunakan wordpress ini sebagai tempat untuk meluahkan perasaan buat tatapan akan datang.

Zaman, tetap akan berjalan. Masa setia berjalan ke depan. Sebagai manusia yang normal, wajar untuk kita melihat dunia dengan penuh warna warni kehidupan.

Semoga dengan itu, kita semua tetap yakin dan percaya bahawa dunia ini adalah sangat indah untuk di diami walaupun pelbagai perkara sedang berlaku di sekitar kita.

 

Selepas PRU-14

Setelah berlaku perubahan kerajaan yang di pimpin oleh Barisan Nasional kepada kemenangan kerajaan baharu yang di pimpin oleh Pakatan Harapan; lanskap politik dan perubahan lainnya sedang marak berlaku di Malaysia.

Tetapi, sebagai rakyat biasa saya mendoakan yang terbaik agar negara ini tetap aman, makmur dan sentosa.

Tentunya segalanya ini akan mendapat redha & restu Ilahi.

 

 

Anak

Sebagai seorang ayah, tentunya kita mahu yang terbaik untuk anak-anak.

Baik akhlak, cemerlang pendidikannya atau pun sempurna segenap segi kehidupan seorang anak; itulah dambaan dan harapan hati seorang ayah.

Tentunya, untuk mencapai ke tahap itu banyak cabaran dan onak duri yang perlu diharungi.

Sekiranya ada berlaku sesuatu yang tidak baik pada anak-anak, sama ada nakal, tidak mendengar kata-kata ayah dan ibu atau sebarang kelakuan yang tidak elok; seharusnya ibu & ayah duduk sama-sama menkoreksi diri.

Boleh jadi ia adalah teguran terus dari Tuhan untuk mengingati kita agar jangan terbabas ke jalan yang benar.

InshaAllah.

WordPress 2018

Rasanya sudah lebih 10 tahun saya menggunakan wordpress ini.

10 tahun yang lalu, medium ini cukup popular. Setiap masa, ia di jenggah oleh hampir kebanyakan penggemar media sosial.

Namun, seiring dengan perubahan zaman catatan yang terakam dalam log seperti wordpress mahu pun blogspot sudah kekurangan peminat seperti 10 tahun yang lalu.

Facebook mengambil tempat. Boleh dikatakan semua beralih arah ke medium yang baru ini.

Saya sebolehnya mahu tetap setia merakamkan coretan ini di sini.

Sebagai terapi dalam diri untuk menyempurnakan cita-cita 10 tahun yang lalu.

Menulis untuk terus melukis impian kehidupan.