Kembali lagi 1435 H

Salam kembali.
Dunia FB yang kian rancak di dunia maya memungkinkan blog semakin kehilangan peminatnya. Saya terpanggil untuk terus menulis di medium blog ini. Sekadar untuk belajar mengasah bakat penulisan yang semakin menumpul. Jika dibandingkan dari awal pembabitan saya dalam dunia blog pada tahun 2007,ia tidaklah semeriah 6 tahun yang lalu.
Biarlah coretan biasa ini akan terus mewarnai dunia maya ini. Semoga saya dan sesiapa yang membaca nukilan ini akan dapat manfaat. Mohon maaf, andai penulisan ini tersasar dan tidak punyai arah. Niat saya hanyalah untuk memastikan sedikit bakat yang ada ini tidak tumpul.
Tambahan pula, terlalu banyak perkara yang boleh di kongsikan atas apa yang berlaku dalam dunia kita pada hari ini. Bumi terus berputar pada orbitnya, manusia semuanya tetap setia menjalankan tanggungjawab yang telah sedia terpikul di pundak masing-masing. Saya percaya, semua akan terus memotivasikan diri bagi menghadapi segala cabaran dan ujian serta permasalahan yang di hadapi sehari-harian. Doa saya agar kita tetap tabah dan setia malah sentiasa memanjatkan doa dan harapan kepada Allah supaya terus positif memandang erti kehidupan ini.
Selamat menempuh hari jumaat yang barakah.

Advertisements

UMNO tidak perlu bersatu

Rasanya tidak perlu untuk bersatu dengan parti lawan. Orang tidak mahu. Paling baik, perbaiki diri. Jadilah ahli politik yang budiman. Tunjukkan pada rakyat, UMNO ingin menjadi parti yang terbaik. Sedia berkhidmat untuk rakyat. Rapatkan jurang perbezaan dengan sesiapa sahaja, waima dengan musuh sekalipun. Soal bersatu atau tidak ia akan datang kemudian apabila diri sudah melakukan transformasi.

Mana mungkin mahu berkorban untuk rakyat andai jurang bersama rakyat ibarat langit dengan bumi. Ini belum lagi bercakap soal tuntutan quran dan sunnah. Usahlah terlalu beretorik. Lakukan perubahan sekarang. Kuasa di tangan UMNO. Mengapa tidak melakukan sepakan mula sekarang?

Jangan berputus asa

Semalam (18/7/2010), genap setahun Muhammad Rifaie lahir. Setahun jugalah berlalu kenangan saya melihat kepayahan isteri melahirkan permata hati kami.

Cepat benar masa berlalu, tinggal beberapa hari lagi Ramadan bakal menjelang. Seperti biasa, saya sentiasa akan mempositifkan diri agar dapar menjalani kehidupan ini dengan cemerlang.

Maaf buat yang membaca coretan ini, saya tidak mempunyai maudu’ (perkara) yang ingin dibicarakan. Walaupun ada banyak perkara yang terjadi, tetapi saya tidak tahu dari sisi mana yang harus saya ulas.

Cukuplah sekadar sekuntum doa yang berpanjangan saya titipkan buat semua anggota keluarga (mak dan isteri terutamanya) teman,sahabat dan mereka yang pernah saya kenali atau tidak. Kehidupan ini terlalu manis untuk dinikmati. Setiap detik nadi dan hembusan nafas yang dilepaskan adalah kurnia Allah yang perlu disyukuri. Tiada apa yang harus disesalkan dengan kehidupan yang dilalui.

Buat semua pejuang kebenaran, baik yang berada di lapangan politik, dakwah, pendidikan dan apa sahaja lapangan yang diceburi, saya amat mengagumi usaha dan kecekalan anda semua melakukan sebuah pengorbanan bagi memandaikan dan mencerahkan akal pemikiran ummah demi meraih keredhaan Allah.

Akhir kalam, selagi hidup selagi berjuang. Teruskan kehidupan ini dengan sebaiknya. Pintu kebahagian sentiasa berada dimana-mana, cuma kita perlukan usaha untuk mencari dimanakah ia berada. Terima kasih Tuhanku, kerana memberi petunjuk buatku menempuhi kehidupan ini.

Berlabuhlah malam

Berlabuhlah malam
Apabila  sampai waktunya
Fajar subuh mula menyeri
sinar sang suria

Sudah sunnatullah
mentari terbit diiring siang
bintang berkerdipan
menyinari  keindahan malam

Perjuangan hidupku
hanya memburu cita yang satu
dan kebahagiaan
akan ku buru walau dimana
walaupun sengsara
putus asa tiada sekali
kerana ia adalah
karedhaan dari tuhanku

Jikala  islam dipuncak tinggi
akan ku terus jua mendaki
jika ia dihujung dunia
kerana islam ku terus berjuang

Nota :

Apabila saya menamatkan pengajian, bimbang menguasai diri. Ya, dulunya saya sibuk dengan aktiviti kemahasiswaan, walaupun tidak di peringkat nasional cuma sekadar di kolej, tetapi ia sedikit sebanyak mengajar saya tentang perjuangan, intergriti, pengorbanan dan aktiviti-aktiviti aktivisme. Bimbang, saya akan meninggalkan segala apa yang saya minati dulu.

Kini, setelah hampir 4 tahun, alam kampus sudah ditinggalkan, nostalgia bersama teman-teman perjuangan masih segar di ingatan. Kami, terlalu idealis, berdebat, berhujah dengan sesiapa pun, waima pensyarah yang bergelar Dato mahu pun berpangkat Professor.  Zaman itu telah berlalu, tetapi memori yang mengamit kadangkala memotivasikan saya agar terus berusaha menyumbang pada masyarakat.

Hidup dalam masyarakat tidaklah seindah semasa di alam kampus. Budayanya berbeza, teman-teman seusia ( yang sekepala dalam perjuangan ) sudah bersepah di mana-mana sahaja. Kalau masih berjiwa perjuangan, silakan; nantikan seribu kekecewaan, sejuta rintihan.

Pernah saya, merajuk dengan orang sekeliling, seminggu juga saya mendiamkan diri. Hajatnya mahu berehat sebentar, mahu merawat kekecewaan hati.

Kata hati, ” Hidup ini sebentar, lakukanlah sebaiknya”

Salam perjuangan…

LEADECK (Nostalgia)

Kisah dulu

Di Kolej Tuanku Canselor, sejak awal penubuhan kolej (1996) mungkin sehingga kini (2010), disamping tugas hakiki sebagai mahasiswa, kami bertungkus lumus mencetak serta melahirkan barisan kepimpinan yang bermutu. Kalau tidak untuk orang lain sekalipun, kami sedaya upaya untuk menjadikan diri kami sebagai pemimpin masa hadapan.

Peranan ini kami galas, terutamanya di tahun-tahun akhir pengajian sarjana muda. Saya dan teman-teman Kolej Tuanku Canselor, sebahagian daripada kami, mencurahkan bakti melalui platform LEADECK. Pada kebiasaannya, kami digelar ‘senior’ pada tempoh 3 semester berbaki kami di KTC.

Pada saat itu juga, kami berada dalam ‘kapal’ LEADECK. Tradisi ini berlangsung sejak tahun 1996 lagi, kami perturunkan kepada generasi demi generasi demi kelangsungan kepimpinan mahasiswa di KTC.Matlamat utama kami; legasi kepimpinan yang akan dilahirkan , kalau tidak sebaik kami, biarlah ia lebih hebat dan mantap dari zaman kami dan zaman sebelumnya.

LEADECK

Leadership Development Committee of Kolej Tuanku Canselor. Badan bebas ini telah diasaskan oleh Prof Madya Haji Zahib Deraman (Pengetua Ke 2 KTC).Antara tujuan utamanya adalah untuk mengumpulkan sekelompok mahasiswa senior yang telah tamat penggal perkhidmatannya sebagai pemimpin mahasiswa di peringkan kolej atau universiti supaya dapat bersama-sama pihak kolej membentuk, membina pemimpin mahasiswa yang baru.

Hal ini dapat dilakukan dengan berpandukan pengalaman dan ilmu kepimpinan yang dimiliki oleh mahasiswa senior ini. Keahliannya, sekitar 10 orang pada suatu masa. Tetapi jumlah ini kadangkala sekitar 5 orang dengan maksud menampilkan keelitan badan bebas ini.Keanggotaan LEADECK ini sememangnya sudah teruji dengan segala kepakaran, keahlian kepimpinan yang dimiliki sepanjang menuntut di UTM. Tambahan pula, LEADECK ini telah mendapat mandat terus dari pengetua kolej sendiri.

Tetapi segalanya tinggal nostalgia. Setahun sesudah saya bergraduasi, sempat jugalah LEADECK mempunyai seorang pengarah, ia telah dibunuh dengan kejam. Jenazahnya telah bersemadi dengan aman di KTC. Telah tertegak dua batu nisan LEADECK di S01 bersama nostalgia yang tidak akan dilupakan oleh warga KTC yang pernah melalui zaman suka,duka, pahit,manis membina kepimpinan di Kolej Tuanku Canselor, UTM.

Walaupun LEADECK sudah berkubur namun saya bangga dan bersyukur kerana roh dan semangat LEADECK masih lagi berlegar-legar di KTC. Adik-adik di KTC masih bersemangat dan tidak mudah berputus asa untuk membina legasi kepimpinan yang mampan serta meneruskan perjuangan teman-teman senior dahulu. Walaupun bukan melalui wadah LEADECK tetapi niat tetap sama, membina qudwah hasanah (contoh tauladan) melalui kepimpinan. Tanpa platform rasmi, mereka gigih meneruskan kecemerlangan kepimpinan di KTC.

Dari jauh kelihatan ketekunan, kesungguhan mereka mengurus tadbir pelbagai program, menghidupkan kembali rantaian legasi kepimpinan yang telah putus sejak kematian LEADECK. Kelihatannya, tampak sukar apabila melakukan sesuatu untuk KOLEJ tanpa mendapat dokongan rasmi daripada PENGETUA. Tetapi, saya tahu mereka gigih berjuang untuk itu kerana KTC tidak pernah ketandusan pemimpin mahasiswa.

Seluruh UTM juga tahu, KTC sejak dari dulu (1995), ia adalah kilang untuk mencetak pemimpin mahasiswa.Ini jugalah mantera yang menjadi kata azimat semenjak pertama kali kami menjadi penghuni KTC. Ya, mantera itu sudah meresap masuk kedalam hati sanubari kami. KTC, kilang mengeluarkan pemimpin.

Kenangan itu ( Minat dan hobi)

Salam Jumaat,

Bangun sahaja pagi ini, fikiran saya ligat berputar-putar. Usai solat, selepas beberapa ketika saya bermain-main dengan putera dan puteri saya, saya perlahan-lahan menekapkan ‘earphone’ E71 saya. Hajatnya untuk mendengar koleksi lagu-lagu nasyid yang berada dalam simpanan telefon tangan saya.

Memang, sejak sedekad yang lalu, seingat saya ketika berusia 13 tahun, saya gemar apabila membaca sesuatu acapkali saya membaca bertemankan walkman. Dunia teknologi memungkinkan saya mengantikan fungsi walkman dengan kemudahan yang di sediakan oleh E71 ini.

Sambil membaca, kenangan saya terimbau pantas ke masa lalu. Lagu-lagu nasyid terlalu nostalgik buat diri saya. Saya bukanlah pelajar mana-mana sekolah agama( biasanya genre nasyid sinonim dengan budak sekolah agama). Tetapi ledakan irama nasyid pada tahun 1997, membuatkan saya turut terkena tempiasnya.

Sebelum itu, lagu Cita-citaku, Assalamualaikum (Nada Murni) adalah cinta pandang pertama saya dengan irama nasyid ini. Pertama kali saya saya mendengar bait-bait lirik lagu ‘Cita-citaku’ dalam satu majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK Taman Dato Harun telah mempersonakan hati dan perasaan saya. Sehinggakan untuk beberapa ketika selepas itu, masih lagi tergiang-giang lirik lagu ini dalam setiap pergerakan saya. Sungguh, saya tidak memahami dengan lebih mendalam apa yang ada dalam lirik ‘Cita-citaku’ ini. Tetapi setelah 10 tahun selepas itu, saya lebih faham apa yang ingin si penyanyi sampaikan. Siapa sangka, anak sulung saya turut berkongsi minat yang sama terhadap lagu ini.

Acapkali, ketika saya dirundung kesedihan, cepat-cepat saya akan putarkan lagu-lagu nasyid. Lirik-liriknya mengungkapkan kepasrahan pada Allah, keluh kesah yang bersandarkan pada Ilahi serta pengharapan yang jitu pada sang Pencipta. Tambahan pula, lagu yang menjadi kegemaran saya, lagu yang bertemakan jihad, taubat pada Allah serta yang menyeru jalan pulang kepada Allah. Saya tidak menafikan bahawa al-Quran adalah penghibur yang paling utama tetapi kelemahan iman saya menyebabkan saya belum merasai nikmat membaca al-Quran itu lagi. Saya pelbagaikan dengan mendengar nasyid kerana liriknya juga bersandarkan apa yang telah terungkap dalam Quran dan Hadis.

Kenapa saya bercerita tentang ini semua? Fikiran saya galau. Saya bersyukur, dengan nasyid ini jugalah saya menerima tarbiyah langsung dari Allah. Kelihatannya terlalu mudah. Dari irama nasyid saya juga gemar membaca dan membeli buku . Kata teman-teman saya ini ulat buku tetapi kata hati saya, “aku ini pembeli buku yang setia”. Saya masih ingat lagi buku pertama yang saya mula-mula beli ketika menjejakkan kaki ke UTM. Selepas 9 tahun berlalu, kalau tidak salah kiraan saya, sudah hampir 500 lebih koleksi buku yang berada dalam simpanan saya. Mungkin tidak sebanyak sasterawan negara koleksi buku saya tetapi seperti yang selalu saya katakan pada isteri saya, seandainya saya mati kelak, gadailah buku-buku ini, manalah tahu ada harganya di pasaran.

Haji Syaful Anwar, insan yang mengenalkan minat ini pada saya. Walaupun arwah bapa saya ini bukanlah pengumpul buku tetapi setiap hari beliau sentiasa setia membeli dan membaca surat khabar. Secara tidak langsung, minat beliau pada akhbar ini turut menarik minat saya. Sampaikan saya tidak boleh makan dengan kenyang tanpa saya membaca akhbar sambil makan ( bukan makan sambil baca akhbar). Walaupun berita yang saya baca itu sudah lebih 10 kali dibaca tetapi saya tetap setia mengulanginya. UTM telah menambah minat saya dengan pengumpulan pelbagai genre buku. Dari politik ke agama, menjangkau siasah, sosial, motivasi dan lain-lain. Saya cukup pantang kalau ada orang yang mempertikaikan minat saya mengumpul dan membaca ini. Saya cukup berbahagia dengan minat dan hobi ini.

Membaca ini bukan sahaja meluaskan horizon pemikiran, tetapi ia juga boleh menjadi terapi yang mujarab. Malah, saya seolah-olah bertemankan dengan cendiakawan yang tidak jemu memberi nasihat, tidak lelah dengan kealpaan saya. Saya tidak malu untuk berguru dengan buku-buku ini kerana saya telah hilangkan hijab yang terbentang antara saya dan buku-buku ini. Mana mungkin saya lupa, keinginan saya untuk berkahwin telah saya ajukan pada teman-teman buku ini. Lalu saya terima saranan-saranan yang diberikan kemudian saya berpegang teguh dengan apa yang telah saya dan buku-buku ini bincangkan. Saya tidak menoleh ke belakang lagi, saya redah sahaja samudera yang bakal saya tempohi. Hasilnya, saya cukup bahagia dengan isteri dan dua orang cahaya mata.

Makanya, saya amat berterima kasih dengan kedua-dua minat saya ini. Minat inilah yang memandu hidup saya. Sudah pastilah yang menghantarnya adalah ALLAH. Hidup ini perlu diteruskan, walau apa pun yang berlaku, saya cukup bahagia.

Tika dinihari

Tika dinihari – Devotees

Oh Tuhanku
tiada indah di malam yang hening
melainkan dengan bermunajat kepada-Mu
tiada indah suatu hari yang aku lalui
Kecuali dengan patuh kepada-Mu

Oh Tuhanku
Tiada indah hidup di dunia
Melainkan berzikir dan menyebut nama-Mu
Tiada indah tiba di akhirat yang abadi
Kecuali dengan keampunan-Mu

Ya Allah Tuhanku
Yang merubah kalbu
Tetapkanlah hatiku
Moga sentiasa dalam agama-Mu
Jua taat akan perintah-Mu

Tuhan
Usah bebankan kami
Dengan bebanan yang berat
Seperti yang pernah kau berikan
kepada umat yang terdahulu dari kami

Tuhan
Jangan pikulkan kami
Yang tidak kami terdaya
Maafkan salah kesilapan
Ampunkanlah dosa-dosa
Rahmatilah kami

Seawal 3 pagi tadi, saya nyanyikan lagu ini buat pendengaran Alya Insyirah. Wah, suara saya tidaklah semerdu mana, namun itu sudah cukup untuk mendodoikan anak sulung saya. Tambahan pula, Alya Insyirah rapat dengan saya. Sudah pastilah, Alya berasa seronok apabila sang ayah mengeluarkan suara merdu untuk pendengaran halwa telingganya.

Tambahan pula, lagu ini sudah menjadi zikir buat saya di kala kesedihan. Terkadang menitis air mata mendengar rintihan bait-bait lirik lagu ini.

Apa yang ingin saya sampaikan cuma lah satu, apabila sedang bersedih kembalikan lah kesedihan itu kepada sang Pencipta.

Lagu Devotees ini ada jawapan pada saranan saya. Jom kita berdoa.