LEADECK (Nostalgia)

Kisah dulu

Di Kolej Tuanku Canselor, sejak awal penubuhan kolej (1996) mungkin sehingga kini (2010), disamping tugas hakiki sebagai mahasiswa, kami bertungkus lumus mencetak serta melahirkan barisan kepimpinan yang bermutu. Kalau tidak untuk orang lain sekalipun, kami sedaya upaya untuk menjadikan diri kami sebagai pemimpin masa hadapan.

Peranan ini kami galas, terutamanya di tahun-tahun akhir pengajian sarjana muda. Saya dan teman-teman Kolej Tuanku Canselor, sebahagian daripada kami, mencurahkan bakti melalui platform LEADECK. Pada kebiasaannya, kami digelar ‘senior’ pada tempoh 3 semester berbaki kami di KTC.

Pada saat itu juga, kami berada dalam ‘kapal’ LEADECK. Tradisi ini berlangsung sejak tahun 1996 lagi, kami perturunkan kepada generasi demi generasi demi kelangsungan kepimpinan mahasiswa di KTC.Matlamat utama kami; legasi kepimpinan yang akan dilahirkan , kalau tidak sebaik kami, biarlah ia lebih hebat dan mantap dari zaman kami dan zaman sebelumnya.

LEADECK

Leadership Development Committee of Kolej Tuanku Canselor. Badan bebas ini telah diasaskan oleh Prof Madya Haji Zahib Deraman (Pengetua Ke 2 KTC).Antara tujuan utamanya adalah untuk mengumpulkan sekelompok mahasiswa senior yang telah tamat penggal perkhidmatannya sebagai pemimpin mahasiswa di peringkan kolej atau universiti supaya dapat bersama-sama pihak kolej membentuk, membina pemimpin mahasiswa yang baru.

Hal ini dapat dilakukan dengan berpandukan pengalaman dan ilmu kepimpinan yang dimiliki oleh mahasiswa senior ini. Keahliannya, sekitar 10 orang pada suatu masa. Tetapi jumlah ini kadangkala sekitar 5 orang dengan maksud menampilkan keelitan badan bebas ini.Keanggotaan LEADECK ini sememangnya sudah teruji dengan segala kepakaran, keahlian kepimpinan yang dimiliki sepanjang menuntut di UTM. Tambahan pula, LEADECK ini telah mendapat mandat terus dari pengetua kolej sendiri.

Tetapi segalanya tinggal nostalgia. Setahun sesudah saya bergraduasi, sempat jugalah LEADECK mempunyai seorang pengarah, ia telah dibunuh dengan kejam. Jenazahnya telah bersemadi dengan aman di KTC. Telah tertegak dua batu nisan LEADECK di S01 bersama nostalgia yang tidak akan dilupakan oleh warga KTC yang pernah melalui zaman suka,duka, pahit,manis membina kepimpinan di Kolej Tuanku Canselor, UTM.

Walaupun LEADECK sudah berkubur namun saya bangga dan bersyukur kerana roh dan semangat LEADECK masih lagi berlegar-legar di KTC. Adik-adik di KTC masih bersemangat dan tidak mudah berputus asa untuk membina legasi kepimpinan yang mampan serta meneruskan perjuangan teman-teman senior dahulu. Walaupun bukan melalui wadah LEADECK tetapi niat tetap sama, membina qudwah hasanah (contoh tauladan) melalui kepimpinan. Tanpa platform rasmi, mereka gigih meneruskan kecemerlangan kepimpinan di KTC.

Dari jauh kelihatan ketekunan, kesungguhan mereka mengurus tadbir pelbagai program, menghidupkan kembali rantaian legasi kepimpinan yang telah putus sejak kematian LEADECK. Kelihatannya, tampak sukar apabila melakukan sesuatu untuk KOLEJ tanpa mendapat dokongan rasmi daripada PENGETUA. Tetapi, saya tahu mereka gigih berjuang untuk itu kerana KTC tidak pernah ketandusan pemimpin mahasiswa.

Seluruh UTM juga tahu, KTC sejak dari dulu (1995), ia adalah kilang untuk mencetak pemimpin mahasiswa.Ini jugalah mantera yang menjadi kata azimat semenjak pertama kali kami menjadi penghuni KTC. Ya, mantera itu sudah meresap masuk kedalam hati sanubari kami. KTC, kilang mengeluarkan pemimpin.

5 thoughts on “LEADECK (Nostalgia)

Tinggalkan komen