Kenangan itu ( Minat dan hobi)

Salam Jumaat,

Bangun sahaja pagi ini, fikiran saya ligat berputar-putar. Usai solat, selepas beberapa ketika saya bermain-main dengan putera dan puteri saya, saya perlahan-lahan menekapkan ‘earphone’ E71 saya. Hajatnya untuk mendengar koleksi lagu-lagu nasyid yang berada dalam simpanan telefon tangan saya.

Memang, sejak sedekad yang lalu, seingat saya ketika berusia 13 tahun, saya gemar apabila membaca sesuatu acapkali saya membaca bertemankan walkman. Dunia teknologi memungkinkan saya mengantikan fungsi walkman dengan kemudahan yang di sediakan oleh E71 ini.

Sambil membaca, kenangan saya terimbau pantas ke masa lalu. Lagu-lagu nasyid terlalu nostalgik buat diri saya. Saya bukanlah pelajar mana-mana sekolah agama( biasanya genre nasyid sinonim dengan budak sekolah agama). Tetapi ledakan irama nasyid pada tahun 1997, membuatkan saya turut terkena tempiasnya.

Sebelum itu, lagu Cita-citaku, Assalamualaikum (Nada Murni) adalah cinta pandang pertama saya dengan irama nasyid ini. Pertama kali saya saya mendengar bait-bait lirik lagu ‘Cita-citaku’ dalam satu majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK Taman Dato Harun telah mempersonakan hati dan perasaan saya. Sehinggakan untuk beberapa ketika selepas itu, masih lagi tergiang-giang lirik lagu ini dalam setiap pergerakan saya. Sungguh, saya tidak memahami dengan lebih mendalam apa yang ada dalam lirik ‘Cita-citaku’ ini. Tetapi setelah 10 tahun selepas itu, saya lebih faham apa yang ingin si penyanyi sampaikan. Siapa sangka, anak sulung saya turut berkongsi minat yang sama terhadap lagu ini.

Acapkali, ketika saya dirundung kesedihan, cepat-cepat saya akan putarkan lagu-lagu nasyid. Lirik-liriknya mengungkapkan kepasrahan pada Allah, keluh kesah yang bersandarkan pada Ilahi serta pengharapan yang jitu pada sang Pencipta. Tambahan pula, lagu yang menjadi kegemaran saya, lagu yang bertemakan jihad, taubat pada Allah serta yang menyeru jalan pulang kepada Allah. Saya tidak menafikan bahawa al-Quran adalah penghibur yang paling utama tetapi kelemahan iman saya menyebabkan saya belum merasai nikmat membaca al-Quran itu lagi. Saya pelbagaikan dengan mendengar nasyid kerana liriknya juga bersandarkan apa yang telah terungkap dalam Quran dan Hadis.

Kenapa saya bercerita tentang ini semua? Fikiran saya galau. Saya bersyukur, dengan nasyid ini jugalah saya menerima tarbiyah langsung dari Allah. Kelihatannya terlalu mudah. Dari irama nasyid saya juga gemar membaca dan membeli buku . Kata teman-teman saya ini ulat buku tetapi kata hati saya, “aku ini pembeli buku yang setia”. Saya masih ingat lagi buku pertama yang saya mula-mula beli ketika menjejakkan kaki ke UTM. Selepas 9 tahun berlalu, kalau tidak salah kiraan saya, sudah hampir 500 lebih koleksi buku yang berada dalam simpanan saya. Mungkin tidak sebanyak sasterawan negara koleksi buku saya tetapi seperti yang selalu saya katakan pada isteri saya, seandainya saya mati kelak, gadailah buku-buku ini, manalah tahu ada harganya di pasaran.

Haji Syaful Anwar, insan yang mengenalkan minat ini pada saya. Walaupun arwah bapa saya ini bukanlah pengumpul buku tetapi setiap hari beliau sentiasa setia membeli dan membaca surat khabar. Secara tidak langsung, minat beliau pada akhbar ini turut menarik minat saya. Sampaikan saya tidak boleh makan dengan kenyang tanpa saya membaca akhbar sambil makan ( bukan makan sambil baca akhbar). Walaupun berita yang saya baca itu sudah lebih 10 kali dibaca tetapi saya tetap setia mengulanginya. UTM telah menambah minat saya dengan pengumpulan pelbagai genre buku. Dari politik ke agama, menjangkau siasah, sosial, motivasi dan lain-lain. Saya cukup pantang kalau ada orang yang mempertikaikan minat saya mengumpul dan membaca ini. Saya cukup berbahagia dengan minat dan hobi ini.

Membaca ini bukan sahaja meluaskan horizon pemikiran, tetapi ia juga boleh menjadi terapi yang mujarab. Malah, saya seolah-olah bertemankan dengan cendiakawan yang tidak jemu memberi nasihat, tidak lelah dengan kealpaan saya. Saya tidak malu untuk berguru dengan buku-buku ini kerana saya telah hilangkan hijab yang terbentang antara saya dan buku-buku ini. Mana mungkin saya lupa, keinginan saya untuk berkahwin telah saya ajukan pada teman-teman buku ini. Lalu saya terima saranan-saranan yang diberikan kemudian saya berpegang teguh dengan apa yang telah saya dan buku-buku ini bincangkan. Saya tidak menoleh ke belakang lagi, saya redah sahaja samudera yang bakal saya tempohi. Hasilnya, saya cukup bahagia dengan isteri dan dua orang cahaya mata.

Makanya, saya amat berterima kasih dengan kedua-dua minat saya ini. Minat inilah yang memandu hidup saya. Sudah pastilah yang menghantarnya adalah ALLAH. Hidup ini perlu diteruskan, walau apa pun yang berlaku, saya cukup bahagia.

One thought on “Kenangan itu ( Minat dan hobi)

  1. Salam,

    Saya juga meminati kedua-duanya, nashid dan buku. Hampir setiap hari, komputer riba saya akan mengalunkan lagu-lagu nashid yang entah berapa ratus kali diputarkan. Andainya komputer riba ini boleh berkata, pasti sudah diluahkan rasa bosannya pada saya. Tetapi, telinga ini masih belum jemu mendengarnya. Biarlah, kerana ini saja yang serasi menjadi halwa telinga saya.

    Saya juga pembeli buku yang setia. Tidak pernah lokek menghabiskan duit kerana buku. Dulu, semasa di kampus, saya tidak pernah berpeluang membeli buku yang saya gemar. Buku yang saya beli hanya berkaitan dengan pelajaran semata. Duit pinjaman JPA cukup untuk menampung hidup sebelum mendapat pinjaman pada semester seterusnya. Kedekut betul saya pada masa itu. Hati teringin sekali tetapi niat itu terpaksa dipendamkan kerana takut nanti perut kosong tak terisi. Kini, sejak saya memegang duit sendiri, saya seolah-olah membalas dendam. Apa saja buku yang berkenan dihati akan saya beli. Saya tidak pernah menyesal membelinya. Terkadang, buku yang dibeli tak sempat saya baca. Itu saja yang saya kesalkan tetapi saya akan berusaha mencari ruang dan waktu untuk membacanya. Setiap kali hati gelisah, jiwa gundah, kepala bagai nak pecah,saya akan ke kedai buku. Sendirian membelek buku baru amat membahagiakan. Seketika saya lupa kesedihan yang menghimpit dada, keresahan yang membuat saya makan bagai tak makan. Pastinya, saya bahagia begini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s