Konflik undang-undang sivil dan syariah?

Dr Shafie Abu Bakar

 

Sun | Aug 12, 07 | 09:45:25 am

 

 

Mutakhir begitu banyak sekali masyarakat didepani dengan kes-kes perundangan berat. Kes pembunuhan Wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang sedang berjalan, pembersihan dari tuduhan rasuah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa bin Dato` Haji Hassan dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dato` Johari Baharom oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.                                                                                                                                                                Pembersihan juga berlaku terhadap Mantan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Tan Sri Zulkipli Mat Nor. Sebelumnya Tan Sri Eric Chia yang menghadapi tuduhan rasuah Perwaja juga dibebaskan.Rakyat termangu kerana jahil dengan selok belok perundangan ! Lebih dari itu mereka dikelirukan dengan tuntutan dari satu pihak umpamanya Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menggesa rakyat memahami dan menghormati perundangan Negara hingga Parti Gerakan bercadang mengeluarkan booklet perundangan Negara bagi disebarkan kepada orang ramai agar lebih memahami undang-undang dan satu pihak lagi rakyat dilarang dari membincang dan mentafsirkan peruntukan-peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Negara.

 

 

Oleh kerana keliru dan jahil dengan perundangan yang berjalan menggerak setengah pihak berkenaan untuk mengetahui sedikit sebanyak aspek perundangan yang dianggap teknikal dan berbelit-belit dan hanya hakim dan lawyer menguasai profession berkenaan.Bagi penulis atas minat yang mulai tumbuh semata-mata untuk kefahaman, maka ruang-ruang penulisan mengenai perundangan mulai lebih diberi perhatian, buku-buku asas perundangan mulai dibuka dan jika ada forum atau seminar perundangan ringan kaki untuk menghadirinya.

 

 

Forum konflik bidang kuasa sivil dan syariah
Demikianlah berdepan dengan maklumat bahawa forum dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang UKM (Perundang) pada malam 7 Ogos 2007 bertempat di Dewan Anuar Mahmud UKM menarik minat penulis memnghadirinya, apa lagi melihat pada wibawa tokoh-tokoh yang akan bercakap di dalam forum itu. Tajuk lengkap forum ialah:

 

 

 

`Konflik Bidang Kuasa Sivil Dan Syariah. Adakah perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan masih releven ?` Para panel forum terdiri dari Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari Fakulti Undang-Undang UIAM, Sdr. Zainal Rijal Abu Bakar dari Fakulti Undang-Undang UKM dan Dr. Ugi Suharto dari ISTAC (Institute of Islamic Thought and Civilization), UIAM, manakala Moderator ialah Prof. Madya Dr. Rahimi bin Shafie dari UKM. Dewan Anuar Mahmud yang memuatkan lebih 1000 orang itu penuh. Kebanyakannya terdiri dari pelajar-pelajar UKM, khususnya dari Fakulti Undang-Undang. Tidak ramai peserta luar. Mungkin ada syndrome ketakutan, bahawa kampus tidak sebebas dahulu untuk dihadiri orang luar ! Penulis sendiri ragu-ragu sama ada boleh masuk atau tidak. Tapi oleh kerana waktu malam, walaupun tanpa sticker, dengan memberi hormat dan mengangkat tangan kenderaan dilepaskan masuk.

 

 

 

Tiada konflik Profesor AbdulAziz Bari memberi pendapat, bahawa tidak berlaku konflik antara perundangan Civil dengan Syariah dan sepatutnya tidak timbul konflik. Perundangan Persekutuan memperuntukkan dalam perkara artikal 11, bahawa Islam ialah Agama Persekutuan, tetapi penganut agama-agama yang lain bebas mengamalkan agama masing-masing.

 

 

Menurut Abdul Aziz artikal ini sudah cukup dan berdiri dengan sendiri di dalam meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa perlu kepada pecahan (3). Dari artikal ini sudah cukup untuk ditegak dan diinterpretasi berhubung dengan hak dan kuasa Islam di Negara ini. Adapun peruntukan perlembagaan 121 (1A) memaksudkan bahawa undang-undang civil tidak berhak campur tangan ke atas peruntukan dan hak undang-undang syariat yang antaranya boleh diolah dari artikal 11 yang lengkap dan berdiri sendiri.

 

 

Menurut Abdul Aziz peruntukan 121 digunakan dalam Kes Mariam dan Mohd Arif dan mencabarnya (1961) yang membawa kepada penambahan enekman 121(1A) dan pernah digunakan bagi Kes Tengku Mariam.Peruntukan ini mempertahankan kemurnian Islam dan penganutnya sehingga perundangan tidak diperkotak-katikkan dan dipermain sewenang-wenangnya. Seorang Islam tidak boleh sewenang-wenang keluar dari agama (murtad).

 

 

Ianya hendaklah berdepan dengan perundangan syariat, agar agama tidak kacau. Seseorang tidak dipaksa beragama Islam, tetapi apabila menganut Islam, dia tidak boleh sesuka hati isytihar keluar (murtad). Murtad adalah sesuatu kesalahan serius dalam Islam dan bukan boleh dipermain-main. Dia mesti berdepan dengan perundangan Islam. Beliau mengambil kes Lina Joy dan juga kes Aishah Bukhari.

 

 

Menurut Abdul Aziz, hak asasi manusia tidak boleh dikaitkan dengan perundangan ini dan ia adalah berada pada tempat berlainan, kalau tidak ia mengacau dan merosakkan perjalanan perundangan.Menurut Abdul Aziz, perundangan Islam adalah cantik dan banyak memberi hak termasuk kepada yang bukan Islam, tetapi pihak-pihak tertentu tidak cuba memahaminya. Orang bukan Islam tidak dipaksa ke mahkamah Syariah.

 

 

 

Masalahnya pengamal undang-undang, khususnya perundangan sivil tidak faham dan tidak cuba mempelajari dan memahami undang-undang Islam. Sebab itu menurutnya ada keputusan yang dibuat berlaku ketidakadilan.Beliau merujuk kepada kes Atiqullah yang dilarang memakai serban di sekolah, sedangkan dalam masa yang sama ada kalangan lain boleh memakai serban. Tentang ketidak fahaman ini beliau merujuk contoh kepada Bank Islam, pada peringkat awal, orang bukan Islam dan juga orang Islam mencemuhnya dan berpendapat dalam beberapa tahun ianya akan berkubur.Tetapi apabila Negara mengalami kegawatan ekonomi dan terbukti melalui urusan Bank Islam tidak merudumkan kewangan yang diurusniaga melalui Bank Islam, maka kebaikan Bank Islam mulai nampak dan kini, orang-orang bukan Islam lebih ramai menggunakan perkhidmatan Bank Islam melebihi orang-orang Islam.

 

 

Demikianlah keindahan Islam di dalam aspek yang lain belum dilihat dan dialami, sekiranya mereka memahami dan menghayati akan melihat dengan sendiri akan kecantikan Islam.Menurut Abdul Aziz walaubagaimana dengan adanya peruntukan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tidak bererti Negara Malaysia Negara Islam, kerana banyak perkara yang memperlihatkan Malaysia bukan Negara Islam, sebaliknya beliau juga tidak menerima Malaysia sebagai Negara sekular, kerana terdapat peruntukan, perjalanan dan amalan yang mengukuhkan Islam.

 

 

 

 

 

Kes-Kes Mahkamah
Saudara Zainal Rijal Abu Bakar sebagai panel kedua menekankan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat mahkamah Syariyyah adalah betul dan berasaskan peruntukan perundangan. Beliau bercakap berhubung dengan kes-kes di mahkamah syariyyah.Beliau dari awal memperingatkan jangan mempercayai 100% terhadap laporan akhbar-akhbar. Bagi yang berbahasa Inggeris selalunya membuat laporan berpihak, sebaliknya akhbar-akhbar berbahasa Melayu bersifat acuh tak acuh.Beliau merujuk kepada kes Murthy atau Muhammad Abdullah pendaki Everest yang meninggal dan jenazahnya menjadi rebutan antara Jabatan Agama Islam dan isetrinya Kaliamal. Dakwaan yang mengatakan isterinya tidak mengetahui suaminya menganut Islam tidak betul.Isterinya berpindah dari Kem di Warderben ke Rawang untuk mengelak diri dari didakwah. Beliau juga tidak dipaksa ke Mahkamah Syariyyah, tetapi dijemput untuk memberi keterangan, tetapi tidak bekerjasama. Beliau membawa kesnya ke Mahkamah Sivil dan mempertikaikan Mahkamah Syariyyah yang berhak membicarakan kes berhubung dengan `suami`nya.

 

 

Walaupun kes melalui Mahkamah Syariyyah, jika terbukti kes tidak berpihak kepada mahkamah, maka diterima bukti dan kedudukan. Contoh Kes Nyonya Tahir, seorang perempuan Melayu berkahwin dengan orang Cina beragama Buddha yang mendapat 11 anak dan ia beramal dengan amalan agama Buddha, walaupun kad pengenalannya tercatat beragama Islam.Pihak keluarga memberi kerjasama dan membuktikan Nyonya Tahir tidak mengamalkan Islam dan mati di dalam Buddha, maka diputus dan diselesaikan dengan baik, bahawa beliau mati di dalam agama Buddha..

 

 

Kes Saravanan yang memeluk Islam sebagai Mohd Shafie. Isterinya mahu kekal Hindu Mohd Shafie dapat membawa sama seorang anaknya bersama beragama Islam, kerana cukup umurnya (18), manakala anak-anak lain di bawah umur kekal bersama ibunya.Manakala kes Siti Fatimah yang lahir secara Islam dan berkahwin dengan lelaki Hindu secara adat dan tidak mendaftar secara sivil atau Islam. Mereka tidak dilindungi baik oleh sivil atau syariyyah, kerana tidak mendaftar. Tidak timbul kontroversi. Untuk civil ada diperuntukkan akta – Reform of Marriage and Divorce Act (1982).

 

 

 

Akibat Liberalisme
Dr. Ugi Suharto sebenarnya pembicara pertama, tetapi melihat kepada persoalan yang dibicarakan adalah lebih sesuai dibicarakan sebagai lanjutan persoalan yang ditimbulkan oleh Abdul Aziz dan Zainal Rijal. Dr. Ugi yang berasal dari Indonesia itu memuji Perlembagaan Malaysia yang memberi kedudukan Islam sebagai agama Rasmi Persekutuan.Indonesia yang 85% beragama Islam dan merupakan umat Islam terbesar di dunia tidak meletakkan sebarang agama sebagai agama rasmi. Menurutnya ada yang memuji tentang pendekatan liberal agama di Indonesia.

 

 

Akibatnya, menurutnya mengancam Islam itu sendiri. Contoh di Indonesia faham sekularisme makin mengancam Islam, timbulnya pluralisme yang berpegang bahawa semua agama sama dan benar. Dari pengaruh pasca modenisme mereka melihat Quran perlu didekonstruksi dan diedit semula.Pendekatan juga dipengaruhi hermunitik yang melihat Quran sebagai Bible yang tidak ada yang asli lagi dan begitu banyak versi yang digunakan dan berbagai-bagai bahasa. Ini bertambah dikacau lagi dengan pendekatan Feminisme yang menuntut persamaan wanita dengan lelaki misalnya hak talak, wirathah, iddah, melarang dari berpoligami dan sebagainya.

 

Dengan keadaan ini ianya menggugat kemurnian Islam dan akan menjadi kacau. Menurutnya di Malaysia sudah ada tanda-tanda pluralisme agama dan Feminisme. Malaysia perlu mempertahankan peruntukan kedudukan Islam di Negara ini..

 

 

Sesi Soal Jawab
Semasa sesi soal jawab beberapa pelajar telah mengemukakan soalan dan pandangan yang menarik. antaranya. persoalan sekular, Islam liberal, Islam progresif, Islam Hadhari dan religious plurality. Persoalan ISA di Malaysia, hak, peluang dan prestasi mahkamah Syariyyah dan perlunya memahami perlembagaan.

 

 

 

 

Lanjutan Liberalisme
Di dalam menjawab mengenai Islam Liberal, Islam Progresif dan Islam Hadhari, Dr. Ugi Suharto menegaskan Islam hanya satu. Apabila ditambah dengan kata sifat Hadhari bererti menghad dan menyempitkan Islam.Istilah Islam Hadhari menurut Ugi adalah tidak kena dan tidak sesuai. Sepatutnya kalau hendak digunakan ialah `Masyarakat (Islam) hadhari/madani`.Beliau tidak menafikan prinsip 10 bagi hadhari itu baik, tetapi kebaikan Islam banyak lagi bukan terhad kepada 10. Beliau menyetujui bahawa baik Islam progresif dan hadhari adalah perkembangan dan lanjutan dari pemikiran liberal.

 

Perlanjutan Liberalisme melahirkan religious pluralisme yang akan menghilangkan kemurnian Islam. Ianya tidak sesuai bukan saja bagi Islam, tetapi juga bagi agama-agama yang lain.

 

Pluralisme dari satu pihak adalah `agama baru` bagi masyarakat sekular. Antara pegangan `agama baru` yang dilahirkan oleh pluralisme ialah apa yang dinamakan Civil Religion, Global Theology, Transcendence Religion dan Syncretism. Kesemuanya bercanggah dengan akidah tauhid dan mengancam kemurnian Islam.

 

 

 

 

Bukan negara Islam dan bukan sekular
Berhubung dengan Negara Islam dan Negara Sekular, Abdul Aziz melanjutkan pendapatnya bahawa Malaysia bukan Negara Islam, kalau Negara Islam, maka tentulah tak ada ISA dan OSA, Negara Islam tidak boleh ada diskriminasi dan tak boleh gantung perlembagaan (151).Menurut Abdul Aziz dengan adanya peruntukan Islam dalam Perlembagaan, maka peruntukan ini menolak sekularnya Malaysia. Ianya dikukuhkan juga dengan fakta-fakta Islam di dalam sejarah Negara.Berhubung dengan Mahkamah Syariyyah dan hubungannya dengan Mahkamah Sivil, Abdul Aziz melihat mereka yang di dalam mahkamah Sivil perlu memhami mahkamah Syariyyah apabila penghakiman melibatkan persoalan keislaman.

 

 

Kalau tidak berlaku kepincangan dan ketidakadilan. Beliau juga membela Mahkamah Syariyyah yang selama ini tidak disedari, bahawa sedang mahkamah sivil dihantui dengan tonggakan kes, tetapi 70% daripada kes mahkamah syariyyah dapat diselesaikan.Berhubung dengan kemungkinan berlaku bercanggahan peruntukan, pertindihan perundangan dan sebagainya beliau menyebut di luar Negara ada mahkamah khas berkenaan perlembagaan, tetapi kita tidak mempunyai `Specialist Court` mahkamah khusus membicarakan persoalamn perlembagaan.

 

Oleh itu setiap Hakim harus memahami perundangan Syariah, jika undang-undang sivilnya berkait dengan persoalan syara`.

 

Saudara Zainal Rijal menambah dan mengingatkan bahawa adalah bahaya mengatakan Negara ini sebagai sekular, kerana ianya memberi ruang tekanan dari luar dan dalam. Tekanan dalaman akan timbul usaha menolak dan mengkesampingkan Islam dari institusi dan amalan, manakala dari luar akan masuk dan berkembang berbagai-bagai aliran dan kefahaman sekular yang antaranya mungkin merupakan agama moden sebagaimana diperkatakan oleh Dr. Ugi Suharto itu..

 

 

 

Kesimpulan
Forum Undang-undang yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (Perundang) UKM ini banyak manfaatnya, khususnya bagi yang kurang pengetahuan di dalam bidang perundangan.Perbincangan memperlihatkan tidak ada percanggahan dan konlik di antara bidang sivil dan syariyyah. Bidang sivil mempunyai hak dan kuasa secara luas, manakala mahkamah syariyyah mempunyai hak dan bidangnya yang tersendiri yang tidak boleh dicampurtangan oleh pihak sivil.

 

Persoalan yang berhubung dengan bidang perundangan Islam hendaklah diurus di bawah bidang syariyyah.. Orang bukan Islam tidak dipaksa ke mahkamah syariyyah, mereka boleh memberi kerjasama membantu melicinkan perjalanan mahkamah syariyyah seperti memberi keterangan dan sebagainya.

 

Sebaliknya orang bukan Islam tidak boleh membawa persoalan yang berhubung dengan mahkamah syariyyah ke mahkamah sivil. Adalah tuduhan yang melulu dan tidak berasas jika dikatakan mahkamah syariyyah memberi keadilan kepada penganut Islam semata-mata..

 

Sesungguhnya memahami adalah lebih baik dari memusuhi. Pepatah ada mengatakan, `Manusia itu Memusuhi apa yang tidak diketahui`. Dengan mengikuti forum ini, khalayak dapat memahami apa itu sekular, adakah Negara ini negara Islam atau tidak, apakah itu liberal dan implikasinya.

 

 

Dengan mengikuti forum ini juga kita dapat melihat dan menyedari bahawa perlembagaan Negara adalah hidup dan fleksibal dan boleh diolah selagi berhubungan dan releven.Memahami perlembagaan melengkapkan kefahaman kita sebagai warga Negara Malaysia dan lebih membawa kepada peningkatan rasa toleransi.

 

 

 

Menghadiri forum sedemikian membangkitkan rasa nostalgic kepada kebebesan akademik dan otonomi universiti yang pada satu masa dulu dinikmati. Pada masa itu kegiatan ilmiah, foram, ceramah; debat, wacana, ceramah dan kolokium di universiti terbuka dan dapat diikuti orang luar.Dengan itu bersemaraklah ilmu, berlaku pertukaran idea dan pengalaman serta kerancakan perbincangan. Mengapa kini mahasiswa dikurung di menara gading ? Membiarkan mereka longlai?Apakah yang ditakut oleh pemerintah untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat ? Tidak mungkinkah sekatan-sekatan kini diruntuhkan dan kebebasan serta otonomi universiti dikembalikan ?

 

Sekian.

 

Bangi,

26 Rajab 1428, 10 Ogos 2007.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s