Dosa ( dari blog Ust Nik Abduh)

 

 

Seorang anak muda, dalam wajah mudanya yang diusik keluh kesah menuju ke arah saya. Tepat saya melihatnya, dia terus bertanya, “Ustaz masuk internetkah?” Tanpa fikir untuk meneka itu ini, saya terus jawab, ” Ya.” Dia melihat saya dalam anak matanya yang lebih tajam, lantas menyoal lagi, ” Ustaz pasti melihat gambar – gambar lucahkan?”Saya tersentak. Darah seperti dibuka kepala paipnya untuk segera menerjah ke muka. Gelabah adalah penyakit saya masa kecil, masa saya kecut perut takut jika disoal oleh guru -guru, sebelum terubat sedikit selepas latih amali bertazkirah dalam usrah. Saya tarik nafas, agar darah panas itu menyejuk sedikit. Angin lawan api. Saya hembus balik. Air lawan api.

Bila selesa sedikit, saya lantas jawab, ” Tidak!” Anak muda itu seperti terkejut. Tandanya kelihatan pada matanya yang membulat dan keningnya sedikit terangkat. Mulutnya memacul kalimat, ” Yakah?”

Saya melihatnya. Kemudian saya melihatnya lagi. Bila saya rasa telah menguasainya, saya memegang bahunya. Tidak, saya menyentuhnya saja hanya untuk dia merasakan kehadiran saya di hadapannya, lalu dia memberi perhatian kedua selepas dia menguasai yang pertama.

Saya berkata, ” Kamu tiada beradab!” Anak muda itu tersentak. Kepalanya mundur ke belakang, tidak tubuhnya. Dia yang telah saya ikat itu bagai tergamam dan ketakutan. “Kenapa ustaz?” Ah, saya tahu dia cukup menghormati saya. Anak muda ini cukup beradab, cuma sedikit mentah. Budak – budak, getus hati saya di sambar ego. Begitulah manusia bila telah menang. Ego tak sudah – sudah. Penyakit Melayu Umno!

Saya menarik tangannya sambil mendorongnya duduk. Betul – betul menghadap saya. ” Mari saya ajarkan kamu.” Selepas dia kembali selesa dengan saya sebagai pembimbingnya, gurunya, saya memulakan.

“Apa kamu dapat jika saya jawab, ya atau saya jawab tidak tadi?”

” Sejak bila kamu diajar untuk bertanya dosa orang lain?”

” Jika kamu rasa malu membuka pekung di dada sendiri, tidakkah aib dan salah kamu meminta orang lain membuka pekung mereka juga?”

Saya lalu mengajarnya bagaimana menanggung beban dosa dan maksiat, seperti diajar RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Setiap kita melakukan dosa. Dosa daripada perlakuan maksiat dan munkar yang bermacam – macam. Dosa dari hati yang lalai, lidah yang menjarah, panca indera yang melanggar dan merempit, bahkan sikap dan akhlak kita yang jengkil. Kita berdosa kerana kita adalah manusia. Setiap manusia mesti berdosa. Jika tidak kerana dimaksumkan oleh Allah, para anbiya’ juga berdosa. Mereka juga manusia.

Tetapi dosa adalah penyakit yang menyerang manusia. Kerananya manusia menjadi lemah dan mati. Ia mesti dibuang sesegeranya sebelum ia menjalar dan merebak lalu mencetus penyakit yang lebih parah. Ia kuman yang sesetengahnya boleh membunuh.

Dosa juga adalah keaiban dan kehinaan. Ia mesti ditutup. Ia mesti tidak didedahkan. Apabila ia terdedah atau didedahkan, ia akan merendahkan kedudukan tuannya di mata manusia yang beriman, apatah di mata manusia yang berpenyakit yang seronok penyakitnya menjangkiti orang lain pula. Dia mungkin kehilangan thiqah dan kepercayaan orang lain kepadanya.

Kerana itu dosa mestilah dijauhi dan dielakkan. Jika berlaku dosa, ia mesti dibuang sesegeranya. Jika ada dosa, ia mesti ditutup dan disembunyikan daripada pandangan manusia seluruhnya.

Jauhilah dosa dengan sifat taqwa. Hilangkanlah dosa dengan taubat. Sembunyikanlah dosa dengan sitrah / penutup.

Maka tanamkanlah dan bajailah sifat taqwa, nescaya kita tidak mudah berdosa kerana taqwa mendorong kita membenci dosa dan menyukai ketaatan.

Segeralah bertaubat dan beristigfar. Ia bagai angin kuat yang menggugurkan dedaun kering dari rantingnya. Ia lalu memucukkan daunan yang lebih segar dan menghijau.

Tutuplah dosa diri dengan tidak melakukannya secara terang – terangan dan bisukanlah lidahmu daripada menceritakan dosa dan aib yang engkau lakukan secara sendirian.

Bersyukurlah kerana dikurniakan taqwa yang terlalu didamba orang beriman. Bersyukurlah kerana dimudahkan bertaubat daripada dosa yang mengeraskan hati dan jiwa. Bersyukurlah kerana disembunyikan dosa diri daripada pengetahuan manusia.

Besarnya kasih sayang Allah kepada kita kerana betapa banyaknya dosa kita ditutupNya daripada penglihatan manusia.

Bodohnya kita apabila mendedahkan dosa dan aib yang telah ditutupi Allah dengan sitrahNya kepada manusia.

Apabila Allah ingin menghukum hambanya di dunia, didedahkan keaibannya dan perlakuan jahatnya kepada seluruh manusia, lalu runtuhlah segala maruah diri yang dibina.

Murkanya Allah pada manusia yang membuka aibnya sendiri selepas ditutupiNya.

Tidak sama dosa terang – terangan dengan dosa yang dilakukan secara sembunyi.

Doa RasuluLlah, “Tuhanku, ampunilah dosa kami, tutuplah keaiban kami dan janganlah dibiar musuh kami memperlekehkan kami.”

Begitulah saya menyudahi tazkirah khas pada anak muda itu. Dia khusyu’ sekali mendengarnya. Mungkin melebihi saya sendiri.

Dia bangun sambil mengucap terima kasih. Saya senyum dan berkata, “Saya juga berterima kasih kepada kamu.” Dia berkata, ” Kenapa ustaz?”

Saya menjawab, ” Kerana soalanmu itu mengajar saya betapa besarNya limpah kasih Allah pada kita semua.”

Betullah kata – kata ulama, jikalah dosa itu berbau, nescaya ku tak mampu keluar rumah kerana malu busuk tubuhku dikesani orang kerana dosa – dosaku…

One thought on “Dosa ( dari blog Ust Nik Abduh)

  1. as”kum saya baru baca tulisan2 blog ustazh. bagus berani,dan jelas….. saya harap ustaz dapat megekalkan …. SELAMAT BERJUANG

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s