TNB potong elektrik sebabkan rumah terbakar dan maut

kluangfire_nst.jpg

kluangfire_um.jpg
KLUANG, 9 Ogos (Bernama) — Allahyarham Kasmuri Jasman, 44, yang maut bersama-sama isteri dan tiga anaknya selepas rumah mereka terbakar awal pagi ini, terpaksa menangguhkan pembayaran bil elektrik rumahnya kerana mahu menggunakan wang bagi membiayai pengajian tiga lagi anaknya yang menuntut di institusi pengajian awam tempatan.

Jiran dan tuan tanah kepada keluarga mangsa, Jamliah Othman, berusia lingkungan 60-an, berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh isteri Kasmuri, Sufiah Abdul Karim, 41, beberapa hari lepas.

“Sudah lima malam rumah mereka bergelap selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik kerana mangsa tidak menjelaskan bayaran. Akibatnya, mangsa sekeluarga terpaksa menggunakan lilin,” katanya kepada pemberita di rumahnya, yang terletak bersebelahan rumah mangsa hari ini.

Jamliah, yang khuatir dengan penggunaan lilin di rumah Kasmuri boleh menyebabkan kebakaran, memaklumkan hal itu kepada pejabat Bomba dan Penyelamat Kluang tiga hari lepas.

“Saya dan jiran percaya kebakaran disebabkan oleh lilin yang mungkin terjatuh akibat ditiup angin kuat pagi tadi, sebelum menyambar barangan di rumah kayu itu,” katanya.

Kasmuri merupakan kakitangan syarikat pembuat jubin, Malaysia Mosaic manakala isterinya bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Di dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 3.55 pagi, Kasmuri dan isterinya maut bersama-sama tiga anak mereka, Hishammuddin, 13, Izamuddin, 9, dan Nurul Macella, 8, selepas rumah berkembar mereka di Kampung Tengah musnah dijilat api.

Hanya anaknya, Nurul Farhana, 15, dan penghuni rumah sebelah, warga emas yang hanya dikenali sebagai “Azila” dan “Saiman” serta seorang kanak-kanak selamat dalam kejadian itu.

Tiga anak pasangan malang itu iaitu Salahuddin, lingkungan 20-an menuntut di Kolej Universiti Tun Hussein Onn (Kuittho); Faizah Nor, lingkungan 20-an di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Juliana, 19, penuntut matrikulasi di Universiti Sains Malaysia (USM).

Jamliah berkata beliau hanya menyedari tentang kebakaran itu apabila dikejutkan oleh menantunya yang tinggal bersama-samanya pada pukul 3.30 pagi.

“Jiran-jiran tidak dapat membantu mangsa kerana kejadian berlaku amat cepat, ditambah pula penduduk semua sedang nyenyak tidur,” katanya.

Seorang lagi jiran, Hamzah Othman, berusia lingkungan 50-an, mengakui kemungkinan api lilin menjadi punca kebakaran yang mengorbankan Kasmuri dan anggota keluarganya.

“Awal pagi tadi, angin amat kencang dengan hujan. Saya percaya lilin itu jatuh dan apinya membakar langsir rumah mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, abang ipar Kasmuri, Sudirman Abdul Karim, 45, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kluang, berkata berdasarkan perbualannya dengan Nurul Farhana yang terselamat, ubat nyamuk dipercayai menjadi punca kebakaran itu.

“Nurul kata mungkin api ubat nyamuk yang diletakkan dalam bilik menjadi punca kebakaran,” katanya sambil menambah, Nurul Farhana, pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil masih trauma dan enggan bercakap banyak.

Sudirman yang tiba di tempat kejadian pada pukul 5 pagi selepas dimaklumkan oleh jiran Kasmuri, berkata dua mayat yang rentung ditemui di bilik air, manakala mayat tiga yang lain, iaitu Sufiah dan dua anaknya ditemui di bahagian dapur.

Semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belahan Tampuk, Rengit, Batu Pahat, katanya.


(AL-FATIHAH BUAT MANGSA SEKELUARGA)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s