LEADECK (Nostalgia)

Kisah dulu

Di Kolej Tuanku Canselor, sejak awal penubuhan kolej (1996) mungkin sehingga kini (2010), disamping tugas hakiki sebagai mahasiswa, kami bertungkus lumus mencetak serta melahirkan barisan kepimpinan yang bermutu. Kalau tidak untuk orang lain sekalipun, kami sedaya upaya untuk menjadikan diri kami sebagai pemimpin masa hadapan.

Peranan ini kami galas, terutamanya di tahun-tahun akhir pengajian sarjana muda. Saya dan teman-teman Kolej Tuanku Canselor, sebahagian daripada kami, mencurahkan bakti melalui platform LEADECK. Pada kebiasaannya, kami digelar ‘senior’ pada tempoh 3 semester berbaki kami di KTC.

Pada saat itu juga, kami berada dalam ‘kapal’ LEADECK. Tradisi ini berlangsung sejak tahun 1996 lagi, kami perturunkan kepada generasi demi generasi demi kelangsungan kepimpinan mahasiswa di KTC.Matlamat utama kami; legasi kepimpinan yang akan dilahirkan , kalau tidak sebaik kami, biarlah ia lebih hebat dan mantap dari zaman kami dan zaman sebelumnya.

LEADECK

Leadership Development Committee of Kolej Tuanku Canselor. Badan bebas ini telah diasaskan oleh Prof Madya Haji Zahib Deraman (Pengetua Ke 2 KTC).Antara tujuan utamanya adalah untuk mengumpulkan sekelompok mahasiswa senior yang telah tamat penggal perkhidmatannya sebagai pemimpin mahasiswa di peringkan kolej atau universiti supaya dapat bersama-sama pihak kolej membentuk, membina pemimpin mahasiswa yang baru.

Hal ini dapat dilakukan dengan berpandukan pengalaman dan ilmu kepimpinan yang dimiliki oleh mahasiswa senior ini. Keahliannya, sekitar 10 orang pada suatu masa. Tetapi jumlah ini kadangkala sekitar 5 orang dengan maksud menampilkan keelitan badan bebas ini.Keanggotaan LEADECK ini sememangnya sudah teruji dengan segala kepakaran, keahlian kepimpinan yang dimiliki sepanjang menuntut di UTM. Tambahan pula, LEADECK ini telah mendapat mandat terus dari pengetua kolej sendiri.

Tetapi segalanya tinggal nostalgia. Setahun sesudah saya bergraduasi, sempat jugalah LEADECK mempunyai seorang pengarah, ia telah dibunuh dengan kejam. Jenazahnya telah bersemadi dengan aman di KTC. Telah tertegak dua batu nisan LEADECK di S01 bersama nostalgia yang tidak akan dilupakan oleh warga KTC yang pernah melalui zaman suka,duka, pahit,manis membina kepimpinan di Kolej Tuanku Canselor, UTM.

Walaupun LEADECK sudah berkubur namun saya bangga dan bersyukur kerana roh dan semangat LEADECK masih lagi berlegar-legar di KTC. Adik-adik di KTC masih bersemangat dan tidak mudah berputus asa untuk membina legasi kepimpinan yang mampan serta meneruskan perjuangan teman-teman senior dahulu. Walaupun bukan melalui wadah LEADECK tetapi niat tetap sama, membina qudwah hasanah (contoh tauladan) melalui kepimpinan. Tanpa platform rasmi, mereka gigih meneruskan kecemerlangan kepimpinan di KTC.

Dari jauh kelihatan ketekunan, kesungguhan mereka mengurus tadbir pelbagai program, menghidupkan kembali rantaian legasi kepimpinan yang telah putus sejak kematian LEADECK. Kelihatannya, tampak sukar apabila melakukan sesuatu untuk KOLEJ tanpa mendapat dokongan rasmi daripada PENGETUA. Tetapi, saya tahu mereka gigih berjuang untuk itu kerana KTC tidak pernah ketandusan pemimpin mahasiswa.

Seluruh UTM juga tahu, KTC sejak dari dulu (1995), ia adalah kilang untuk mencetak pemimpin mahasiswa.Ini jugalah mantera yang menjadi kata azimat semenjak pertama kali kami menjadi penghuni KTC. Ya, mantera itu sudah meresap masuk kedalam hati sanubari kami. KTC, kilang mengeluarkan pemimpin.


Pindah Rumah

Jun 2008, bulan terakhir saya menetap di Rumah Kelamin, Kolej Perdana UTM Skudai!

Saya dan isteri mula mendiami rumah ini pada 27/12/2006, akhirnya pada 30/6/2008 saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada kenangan kami di rumah ini.

Lumayan, dengan hanya membayar RM 420 sebulan, di tambah dengan segala kelengkapan di sediakan termasuk, perabot, internet , air dan elektrik percuma, saya berasa sedih untuk meninggalkan rumah ini.

Dari tinggal berdua, sehinggalah kami didatangi oleh Alya Insyirah , sudah pastilah ada kenangan yang tidak dapat di lupakan. Tambahan pula, inilah rumah pertama di diami setelah berkahwin. Walaupun , berjiran dengan pelajar antarabangsa tetapi, kami dapat menyesuaikan diri.

Harapan kami, suatu masa nanti, kami akan mempunyai rumah yang berdekatan masjid, mempunyai jiran yang baik serta rumah itu selesa buat kami anak beranak beristirehat.

Untungnya berkahwin di usia muda, kami cepat dewasa dengan tuntutan zaman yang kami lalui. Mahu atau tidak , strategi perlu di susun agar kami dapat mencipta ketenangan dalam rumah tangga kami. Perkahwinan tidak akan selesai setelah akad nikah dan mempunyai anak, tetapi kehidupan baru sahaja bermula selepas akad nikah dan mempunyai cahaya mata.

Malah, perkahwinan bukanlah sekada ucapan sayang dan manis namun ia adalah sebuah tanggungjawab. Ya, ia juga adalah sebuah tuntutan mendapat redha Allah. Saya masih belajar mengenai kehidupan, moga kapal yang saya  ketuai ini tidak tenggelam di tengah arus dunia yang menipu. Saya ingin menjadi kapten yang berkarismatik, mempunyai misi serta visi, segalanya bertitik tolak ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Ada orang yang bahagia di dunia namun akhiratnya digadaikan. Saya tidak percaya, orang yang mengejar akhirat semata akan berjaya kerana, untuk mendapatkan akhirat jambatannya adalah dunia. Pelik bukan kalau ingin berjaya di akhirat tanpa melalui jambatan dunia. Tidak mungkin mereka ini terbang terus menuju akhirat kerana dunia lah satu-satunya jalan menuju akhirat. Bersetuju dengan saya?


Persatuan Mahasiswa Islam UTM (Sebuah coretan)

Terkenang sewaktu saya dan rakan-rakan bersama-sama menjalankan aktiviti dakwah di kampus. Ia adalah kenangan indah yang pernah terakam dalam sejarah hidup saya. Saya tidak pernah mengikuti pengajian ilmu Islam secara khusus. Namun, apabila saya berada di UTM, saya berjumpa dengan teman-teman yang mengikuti sistem pendidikan Islam yang lebih baik daripada yang saya perolehi di sekolah dulu.

Mana tidaknya, mereka bekas pelajar sekolah agama seperti KISAS, Maahad Muhammadi dan sekolah agama lain yang bertebaran di seluruh Malaysia. Cuma, paling tidak pun saya dapat mengambil sesuatu yang berguna sepanjang saya menuntut di UTM.

Paling indah, apabila rakan-rakan ini mengenalkan saya dengan pengajiaan di pondok. Walaupun hanya untuk tempoh sekitar 2 minggu tetapi saya berpeluang belajar sesuatu yag baru.

Ia kini tinggal kenangan, saya masih menginggati kenangan itu. Apa yang boleh saya katakan, universiti sedikit sebanyak membentuk watak diri saya dalam menuju kesempurnaan menjadi hamba Allah.

Tidak di lupakan juga Persatuan Mahasiswa Islam UTM, sesi 2001-2007, rakan pimpinan mahu pun akan ahli sekalian. Doa saya, PMI UTM akan terus MEMPERKASA IDEALISME PERJUANGAN MAHASISWA ISLAM. Moga, PMI UTM dapat merobohkan kejahilan yang sedang menimpa segelintir mahasiswa yang sedang leka di buai gejala hedonisme ( seronok-seronok)

Hidup Mahasiswa hari ini adalah penentu kepada kejayaan negara di masa hadapan. Alangkah indahnya sewaktu bergelar mahasiswa namun lebih indah lagi menghadapi kehidupan yang mendatang.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.