Jangan berputus asa

Semalam (18/7/2010), genap setahun Muhammad Rifaie lahir. Setahun jugalah berlalu kenangan saya melihat kepayahan isteri melahirkan permata hati kami.

Cepat benar masa berlalu, tinggal beberapa hari lagi Ramadan bakal menjelang. Seperti biasa, saya sentiasa akan mempositifkan diri agar dapar menjalani kehidupan ini dengan cemerlang.

Maaf buat yang membaca coretan ini, saya tidak mempunyai maudu’ (perkara) yang ingin dibicarakan. Walaupun ada banyak perkara yang terjadi, tetapi saya tidak tahu dari sisi mana yang harus saya ulas.

Cukuplah sekadar sekuntum doa yang berpanjangan saya titipkan buat semua anggota keluarga (mak dan isteri terutamanya) teman,sahabat dan mereka yang pernah saya kenali atau tidak. Kehidupan ini terlalu manis untuk dinikmati. Setiap detik nadi dan hembusan nafas yang dilepaskan adalah kurnia Allah yang perlu disyukuri. Tiada apa yang harus disesalkan dengan kehidupan yang dilalui.

Buat semua pejuang kebenaran, baik yang berada di lapangan politik, dakwah, pendidikan dan apa sahaja lapangan yang diceburi, saya amat mengagumi usaha dan kecekalan anda semua melakukan sebuah pengorbanan bagi memandaikan dan mencerahkan akal pemikiran ummah demi meraih keredhaan Allah.

Akhir kalam, selagi hidup selagi berjuang. Teruskan kehidupan ini dengan sebaiknya. Pintu kebahagian sentiasa berada dimana-mana, cuma kita perlukan usaha untuk mencari dimanakah ia berada. Terima kasih Tuhanku, kerana memberi petunjuk buatku menempuhi kehidupan ini.


Epilog Seorang Hamba

Wahai Tuhanku Yang Esa. Ampunilah hambamu.

Berikanlah ku kekuatan. Mengharungi ujian dan cabaran dalam hidup ini.

Ku pohon restu hidayah dariMu. Rahmatilah hidup ku, berikanlah kekuatan buat ku.

Terimalah taubat ku, terlalu banyak dosa dan noda yang pernah terpalit dalam kamus hidupku. Aku tidak mampu menanggung dosa silam yang sentiasa menghantui diri ini.

Justeru, hapuskanlah segala dosa ku, agar aku dapat menjalani kehidupan ini dengan seadanya.

Sesungguhnya deruan ombak yang menghempas pantai, bergelora dipukul badai suatu tamsilan kehidupan ku ini.

Tetapi ibarat himpunan buih di tepian, ia tidak akan berkekalan akan terburai jua buih itu akhirnya

Begitulah kehidupan ku. Berikanlah kekuatan.

Ya, kekuatan untuk mengharungi hidup ini.

Aku rindu pada MU Allah.


LEADECK (Nostalgia)

Kisah dulu

Di Kolej Tuanku Canselor, sejak awal penubuhan kolej (1996) mungkin sehingga kini (2010), disamping tugas hakiki sebagai mahasiswa, kami bertungkus lumus mencetak serta melahirkan barisan kepimpinan yang bermutu. Kalau tidak untuk orang lain sekalipun, kami sedaya upaya untuk menjadikan diri kami sebagai pemimpin masa hadapan.

Peranan ini kami galas, terutamanya di tahun-tahun akhir pengajian sarjana muda. Saya dan teman-teman Kolej Tuanku Canselor, sebahagian daripada kami, mencurahkan bakti melalui platform LEADECK. Pada kebiasaannya, kami digelar ‘senior’ pada tempoh 3 semester berbaki kami di KTC.

Pada saat itu juga, kami berada dalam ‘kapal’ LEADECK. Tradisi ini berlangsung sejak tahun 1996 lagi, kami perturunkan kepada generasi demi generasi demi kelangsungan kepimpinan mahasiswa di KTC.Matlamat utama kami; legasi kepimpinan yang akan dilahirkan , kalau tidak sebaik kami, biarlah ia lebih hebat dan mantap dari zaman kami dan zaman sebelumnya.

LEADECK

Leadership Development Committee of Kolej Tuanku Canselor. Badan bebas ini telah diasaskan oleh Prof Madya Haji Zahib Deraman (Pengetua Ke 2 KTC).Antara tujuan utamanya adalah untuk mengumpulkan sekelompok mahasiswa senior yang telah tamat penggal perkhidmatannya sebagai pemimpin mahasiswa di peringkan kolej atau universiti supaya dapat bersama-sama pihak kolej membentuk, membina pemimpin mahasiswa yang baru.

Hal ini dapat dilakukan dengan berpandukan pengalaman dan ilmu kepimpinan yang dimiliki oleh mahasiswa senior ini. Keahliannya, sekitar 10 orang pada suatu masa. Tetapi jumlah ini kadangkala sekitar 5 orang dengan maksud menampilkan keelitan badan bebas ini.Keanggotaan LEADECK ini sememangnya sudah teruji dengan segala kepakaran, keahlian kepimpinan yang dimiliki sepanjang menuntut di UTM. Tambahan pula, LEADECK ini telah mendapat mandat terus dari pengetua kolej sendiri.

Tetapi segalanya tinggal nostalgia. Setahun sesudah saya bergraduasi, sempat jugalah LEADECK mempunyai seorang pengarah, ia telah dibunuh dengan kejam. Jenazahnya telah bersemadi dengan aman di KTC. Telah tertegak dua batu nisan LEADECK di S01 bersama nostalgia yang tidak akan dilupakan oleh warga KTC yang pernah melalui zaman suka,duka, pahit,manis membina kepimpinan di Kolej Tuanku Canselor, UTM.

Walaupun LEADECK sudah berkubur namun saya bangga dan bersyukur kerana roh dan semangat LEADECK masih lagi berlegar-legar di KTC. Adik-adik di KTC masih bersemangat dan tidak mudah berputus asa untuk membina legasi kepimpinan yang mampan serta meneruskan perjuangan teman-teman senior dahulu. Walaupun bukan melalui wadah LEADECK tetapi niat tetap sama, membina qudwah hasanah (contoh tauladan) melalui kepimpinan. Tanpa platform rasmi, mereka gigih meneruskan kecemerlangan kepimpinan di KTC.

Dari jauh kelihatan ketekunan, kesungguhan mereka mengurus tadbir pelbagai program, menghidupkan kembali rantaian legasi kepimpinan yang telah putus sejak kematian LEADECK. Kelihatannya, tampak sukar apabila melakukan sesuatu untuk KOLEJ tanpa mendapat dokongan rasmi daripada PENGETUA. Tetapi, saya tahu mereka gigih berjuang untuk itu kerana KTC tidak pernah ketandusan pemimpin mahasiswa.

Seluruh UTM juga tahu, KTC sejak dari dulu (1995), ia adalah kilang untuk mencetak pemimpin mahasiswa.Ini jugalah mantera yang menjadi kata azimat semenjak pertama kali kami menjadi penghuni KTC. Ya, mantera itu sudah meresap masuk kedalam hati sanubari kami. KTC, kilang mengeluarkan pemimpin.


Kenangan itu ( Minat dan hobi)

Salam Jumaat,

Bangun sahaja pagi ini, fikiran saya ligat berputar-putar. Usai solat, selepas beberapa ketika saya bermain-main dengan putera dan puteri saya, saya perlahan-lahan menekapkan ‘earphone’ E71 saya. Hajatnya untuk mendengar koleksi lagu-lagu nasyid yang berada dalam simpanan telefon tangan saya.

Memang, sejak sedekad yang lalu, seingat saya ketika berusia 13 tahun, saya gemar apabila membaca sesuatu acapkali saya membaca bertemankan walkman. Dunia teknologi memungkinkan saya mengantikan fungsi walkman dengan kemudahan yang di sediakan oleh E71 ini.

Sambil membaca, kenangan saya terimbau pantas ke masa lalu. Lagu-lagu nasyid terlalu nostalgik buat diri saya. Saya bukanlah pelajar mana-mana sekolah agama( biasanya genre nasyid sinonim dengan budak sekolah agama). Tetapi ledakan irama nasyid pada tahun 1997, membuatkan saya turut terkena tempiasnya.

Sebelum itu, lagu Cita-citaku, Assalamualaikum (Nada Murni) adalah cinta pandang pertama saya dengan irama nasyid ini. Pertama kali saya saya mendengar bait-bait lirik lagu ‘Cita-citaku’ dalam satu majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK Taman Dato Harun telah mempersonakan hati dan perasaan saya. Sehinggakan untuk beberapa ketika selepas itu, masih lagi tergiang-giang lirik lagu ini dalam setiap pergerakan saya. Sungguh, saya tidak memahami dengan lebih mendalam apa yang ada dalam lirik ‘Cita-citaku’ ini. Tetapi setelah 10 tahun selepas itu, saya lebih faham apa yang ingin si penyanyi sampaikan. Siapa sangka, anak sulung saya turut berkongsi minat yang sama terhadap lagu ini.

Acapkali, ketika saya dirundung kesedihan, cepat-cepat saya akan putarkan lagu-lagu nasyid. Lirik-liriknya mengungkapkan kepasrahan pada Allah, keluh kesah yang bersandarkan pada Ilahi serta pengharapan yang jitu pada sang Pencipta. Tambahan pula, lagu yang menjadi kegemaran saya, lagu yang bertemakan jihad, taubat pada Allah serta yang menyeru jalan pulang kepada Allah. Saya tidak menafikan bahawa al-Quran adalah penghibur yang paling utama tetapi kelemahan iman saya menyebabkan saya belum merasai nikmat membaca al-Quran itu lagi. Saya pelbagaikan dengan mendengar nasyid kerana liriknya juga bersandarkan apa yang telah terungkap dalam Quran dan Hadis.

Kenapa saya bercerita tentang ini semua? Fikiran saya galau. Saya bersyukur, dengan nasyid ini jugalah saya menerima tarbiyah langsung dari Allah. Kelihatannya terlalu mudah. Dari irama nasyid saya juga gemar membaca dan membeli buku . Kata teman-teman saya ini ulat buku tetapi kata hati saya, “aku ini pembeli buku yang setia”. Saya masih ingat lagi buku pertama yang saya mula-mula beli ketika menjejakkan kaki ke UTM. Selepas 9 tahun berlalu, kalau tidak salah kiraan saya, sudah hampir 500 lebih koleksi buku yang berada dalam simpanan saya. Mungkin tidak sebanyak sasterawan negara koleksi buku saya tetapi seperti yang selalu saya katakan pada isteri saya, seandainya saya mati kelak, gadailah buku-buku ini, manalah tahu ada harganya di pasaran.

Haji Syaful Anwar, insan yang mengenalkan minat ini pada saya. Walaupun arwah bapa saya ini bukanlah pengumpul buku tetapi setiap hari beliau sentiasa setia membeli dan membaca surat khabar. Secara tidak langsung, minat beliau pada akhbar ini turut menarik minat saya. Sampaikan saya tidak boleh makan dengan kenyang tanpa saya membaca akhbar sambil makan ( bukan makan sambil baca akhbar). Walaupun berita yang saya baca itu sudah lebih 10 kali dibaca tetapi saya tetap setia mengulanginya. UTM telah menambah minat saya dengan pengumpulan pelbagai genre buku. Dari politik ke agama, menjangkau siasah, sosial, motivasi dan lain-lain. Saya cukup pantang kalau ada orang yang mempertikaikan minat saya mengumpul dan membaca ini. Saya cukup berbahagia dengan minat dan hobi ini.

Membaca ini bukan sahaja meluaskan horizon pemikiran, tetapi ia juga boleh menjadi terapi yang mujarab. Malah, saya seolah-olah bertemankan dengan cendiakawan yang tidak jemu memberi nasihat, tidak lelah dengan kealpaan saya. Saya tidak malu untuk berguru dengan buku-buku ini kerana saya telah hilangkan hijab yang terbentang antara saya dan buku-buku ini. Mana mungkin saya lupa, keinginan saya untuk berkahwin telah saya ajukan pada teman-teman buku ini. Lalu saya terima saranan-saranan yang diberikan kemudian saya berpegang teguh dengan apa yang telah saya dan buku-buku ini bincangkan. Saya tidak menoleh ke belakang lagi, saya redah sahaja samudera yang bakal saya tempohi. Hasilnya, saya cukup bahagia dengan isteri dan dua orang cahaya mata.

Makanya, saya amat berterima kasih dengan kedua-dua minat saya ini. Minat inilah yang memandu hidup saya. Sudah pastilah yang menghantarnya adalah ALLAH. Hidup ini perlu diteruskan, walau apa pun yang berlaku, saya cukup bahagia.


Sebuah coretan ringkas

Hampir dua bulan saya tidak mengirimkan sebarang coretan. Sedangkan ada aja isu yang ingin saya ketengahkan dalam blog sulung saya ini. Sampaikan ada teman-teman yang meminta saya menulis sesuatu buat tatapan mereka.

Pertamanya, saya memohon selaut kemaafan andai ada yang kecewa apabila bertandang ke blog ini. Hampa! Tiada sebarang catatan baru. Kadang kala saya pun pelik dengan peel saya. Isteri saya susah juga menduga kelakuan saya. Katanya, saya sukar untuk di duga.

Namun, saya sebenarnya terlalu gusar dengan keadaan kami sekeluarga. Seperti tulisan saya yang lalu, saya sendirian di Skudai. Mak dan adik beradik nun di lembah Klang sementara anak dan isteri terpaksa berjauhan di Mersing lantaran panggilan tugas isteri sebagai seorang guru.

Guru, ramai juga yang mengatakan, tugas guru adalah mudah. Cuti yang banyak, masa yang panjang bersama keluarga namun hakikatnya tugas seorang guru menuntut pengorbanan yang besar. Itu belum kira, yang berjauhan dengan suami, anak atau isteri. Hakikatnya, saya pun merasai pengorbanan seorang guru.

Boleh di katakan setiap bulan saya akan menjadi pengunjung setia Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya. Semua ini adalah untuk memastikan pertukaran isteri saya ke daerah Skudai berjaya. Kami merantau jauh ke selatan tanah air untuk menimba pengalaman hidup, mencari kelainan sebelum kembali ke tempat lahir kami nanti. Maka, tidak sepatutnya KPM (terutamanya JAPPIM) mengambil mudah masalah kami.

Sepanjang urusan saya di jabatan kerajaan ini, saya amat kecewa dengan mutu layanan JAPPIM , KPM. JAPPIM, adalah jabatan yang menguruskan guru-guru pengajian Islam. Saya, seolah-olah menjadi taboo dengan badan-badan yang menggunakan nama Islam ini. Kadang kala mereka mengambil mudah dengan masalah orang lain.

Mungkin ini adalah pengalaman pahit saya berurusan dengan mereka. Sedangkan , apabila saya berurusan dengan unit SBP ( sekolah berasrama penuh) : isteri saya mengajar di sekolah asrama penuh, layanannya cukup mesra. Ah, ini pandangan dangkal saya mungkin.

Entah lah, saya tetap berusaha. Doa dan munajat saya pohon.

Mungkin sejak akhir-akhir ini, saya tidak stabil.. Hehehehe

Rupa-rupanya, saya sudah lama tidak menghadam apa-apa buku. Apabila saya kembali mengunyah isi-isi buku yang saya miliki, saya merasai ketenangan. Merasai otak ini berputar-putar ligat, keyakinan saya meningkat, tahap kesedihan saya beransur-ansur pergi.

Wah, begini rupanya penangan sebuah buku. Apatah lagi dengan Quran. Maka, saya berusaha untuk mendampingi Quran sebagai peneman sejati.

Sebab, Quran kan petunjuk bagi umat Islam. Alasan yang tradisional tapi itu lah hakikat yang tidak boleh di nafikan. ( ada teman yang sudah berjanji untuk menghadiahkan saya buku; saya tidak sabar untuk menerimanya)

ALYA INSYIRAH

Tidak sah penulisan saya dalam blog ini tanpa ada catatan ringkas mengenai anak sulung saya. Beberapa hari yang lepas (18 Oktober 2008) genap setahun usia Alya Insyirah.

Kebetulan kami hanya menyambut hari ulang tahun Alya Insyirah, bertiga sahaja. Saya, isteri dan Alya Insyirah. Kami bertiga menyayikan lagu Selamat Hari Jadi buat Alya Insyirah {Alya Insyirah menyayikan dalam bahasa ‘Jerman’}. Tanpa di lupakan doa dan munajat agar anak ini menjadi anak yang solehah. Itu sudah pasti.

Nota buat kawan:

Apabila menulis di blog , mengingatkan saya pada nasihat Pak Hamka ( penulis tafsir Al-Azhar), apabila kita banyak membaca , sudah pasti kita akan menulis jua akhirnya. Dalam kes saya, saya bukanlah seorang yang kuat membaca, gila membaca tetapi saya menulis supaya saya akan membaca akhirnya.

Saya dapat merasai pengalaman yang menarik. Apabila membaca, ia akan meluaskan horizon pemikiran, akan menambahkan keperpustakaan dalam diri. Perpustakaan yang terbina dalam diri secara tidak langsung akan memandu kehidupan kita ke arah kecemerlangan diri.

Makanya, kita akan lebih berkeyakinan menghadapi segala yang berlaku dalam kehidupan.

Saya mempunyai seorang teman, beliau sejak akhir-akhir ini kecewa dengan dirinya. Isunya mudah, beliau merasakan penulisan beliau di blog merapu. Jadi, jalan pintas yang diambilnya, hentikan saja sebarang penulisan di blog. Saya pun kurang mengerti, mengapa jalan ini yang di ambilnya. Mengapa beliau seorang yang mudah putus asa?

Pada hemat saya, blog bukanlah sebuah tesis sarjana muda, Master mahu pun PHD. Ia adalah medium bagi kita melepaskan apa yang terbuku di minda. Lalu di olah mengikut laras bahasa yang mudah di fahami pembaca. Seharusnya, gabung jalinkan antara fakta dan laras bahasa yang santai, supaya pembaca dapat menghadam isi yang ingin di sampaikan.

Usahlah meletakkan harapan terlalu tinggi. Mahu kan blog kita sehebat blogger yang sudah mempunyai nama ? Tidak mengapa, bertatih lah dahulu. Teruskan mengulit buku, menambah ilmu yang tidak kunjung habis. Seharusnya, putus asa tiada dalam kamus hidup kita.

Sementelahan pula, usia kita masih muda. Banyak lagi asam garam hidup yang perlu kita hadapi. Andainya, perkara sekecil ini pun kita goyah menghadapinya apalah lagi yang boleh diharapkan dengan golongan pemuda benteng pertahanan negara, pemimpin masa depan negara.

Wah, ini bukanlah kuliah tetapi kekecewaan saya pada teman ini. Di UTM dulu, beliau antara insan yang di kategorikan sebagai menerima didikan tarbiyah dari UTM (bukan di UTM malah sejak di matrikulasi lagi) namun menghadapi perkara sekecik ini pun sudah putus asa.

Saya merasakan sindrom putus asa adalah virus yang merbahaya. Kita mahu kan pemuda yang berhati waja, berdaya saing.

Jauh saya berceloteh, tetapi pada hakikatnya saya pun menghadapi masalah seperti teman itu. Mohon dikuatkan hati, jiwa dan raga!


Pagi Jumaat

Salam Jumaat.

Menulis dan terus menulis. Orang kata, menulis adalah salah satu bentuk terapi membina kekuatan diri. Siapa yang kata? Mungkin saya seorang. Namun, apabila menulis ia seolah-olah akan memberikan kesegaran minda kelapangan akal fikiran, secara tidak langsung, ia adalah senaman minda.

Saya, apabila menulis itu bererti jiwa saya ‘masih’ hidup. Ya, saya dapat mencurahkan ilmu yang saya perolehi melalui pemerhatian, pembacaan serta penakualan. Tetapi, apabila saya jarang menulis itu bererti ada sesuatu yang tidak kena pada diri saya.

Mungkin saya sibuk?atau sepengetahuan saya , saya bukanlah sesibuk mana pun! Lagi sibuk Muthanna, dengan aktiviti beliau sebagai aktivis politik.Malah saya tidak lah sesibuk Azrul pelajar Master UTM, kini sedang bergembira kerana beliau tidak lama lagi akan menjadi Pegawai Kerajaan , dengan tangga gaji J41, mungkin nanti ketika beliau menjadi Pegawai Kerajaan , mungkin YAB Dato seri Anwar Ibrahim adalah PM Malaysia ketika itu. Siapa tahu? Tetapi yang pasti Azrul kini adalah seorang pegawai kerajaan.

Begitulah sekelumit celoteh saya pada pagi Jumaat yang berbahagia ini. Moral cerita ini, minta kawan-kawan doakan saya supaya saya kembali ceria. Di kurniakan ketenangan hati, jiwa yang sejahtera dan kebahagiaan yang kekal abadi. Ameen


Akhirnya saya meninggalkan U3A-402,Kolej Perdana UTM

Saya tahu, minggu ini berita paling hangat adalah mengenai kes liwat Anwar Ibrahim, akuan bersumpah Raja Petra dan beberapa lagi berita politik yang pada pengamatan saya amat menjijikkan lagi memualkan.

Maaf, di fikiran saya ,  kerana kuasa orang sanggup berbuat apa sahaja. Walau pun , ia di larang oleh agama.

Apa pun, doa saya agar pemimpin yang bersih , baik serta ikhlas memimpin umat ini dapat memunculkan dirinya. Malu juga, apabila melihat pemimpin Melayu bercakaran tapi pada masa yang sama, pemimpin kaum lain sedaya upaya mengukuhkan kelangsungan bangsa mereka di Malaysia ini. Walaupun berlainan mazhab politik tetapi yang penting survival dan tuntutan kaum mereka di tuntut sejak sekian lama dulu akhirnya sedikit demi sedikit dapat di penuhi.

Ah, persetankan pergolakan politik tanah air!

Akhirnya, hari ini, Rabu, tanggal 2 Julai 2008, selepas waktu Asar, secara rasminya saya akan meninggalakan rumah sewaan saya di KoleJ Perdana ini

Kenangan? Sudah tentu akan bersemi dalan ingatan. Semoga hijrah saya akan mendekatkan diri dengan Allah. Saya merasa sedikit tergugah kerana talian internet tiada di sediakan di rumah baru. Mungkin saya akan rasa canggung dan sedikit ralat kerana aktiviti malam saya mungkin akan berubah. Paling tidak pun, waktu malam saya boleh habiskan menelaah buku yang bertimbun banyak atau pun bermuhasabah.

Sekali lagi, perpindahan ini adalah hijrah bagi diri saya, itu lah harapan saya.

hijrah, di tempat yang baru, suasana yang baru , azam yang baru serta keimaanan yang bertambah kalau turun pun ia tidak terlalu lama. Ameen

Salam Hijrah


Pindah Rumah

Jun 2008, bulan terakhir saya menetap di Rumah Kelamin, Kolej Perdana UTM Skudai!

Saya dan isteri mula mendiami rumah ini pada 27/12/2006, akhirnya pada 30/6/2008 saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada kenangan kami di rumah ini.

Lumayan, dengan hanya membayar RM 420 sebulan, di tambah dengan segala kelengkapan di sediakan termasuk, perabot, internet , air dan elektrik percuma, saya berasa sedih untuk meninggalkan rumah ini.

Dari tinggal berdua, sehinggalah kami didatangi oleh Alya Insyirah , sudah pastilah ada kenangan yang tidak dapat di lupakan. Tambahan pula, inilah rumah pertama di diami setelah berkahwin. Walaupun , berjiran dengan pelajar antarabangsa tetapi, kami dapat menyesuaikan diri.

Harapan kami, suatu masa nanti, kami akan mempunyai rumah yang berdekatan masjid, mempunyai jiran yang baik serta rumah itu selesa buat kami anak beranak beristirehat.

Untungnya berkahwin di usia muda, kami cepat dewasa dengan tuntutan zaman yang kami lalui. Mahu atau tidak , strategi perlu di susun agar kami dapat mencipta ketenangan dalam rumah tangga kami. Perkahwinan tidak akan selesai setelah akad nikah dan mempunyai anak, tetapi kehidupan baru sahaja bermula selepas akad nikah dan mempunyai cahaya mata.

Malah, perkahwinan bukanlah sekada ucapan sayang dan manis namun ia adalah sebuah tanggungjawab. Ya, ia juga adalah sebuah tuntutan mendapat redha Allah. Saya masih belajar mengenai kehidupan, moga kapal yang saya  ketuai ini tidak tenggelam di tengah arus dunia yang menipu. Saya ingin menjadi kapten yang berkarismatik, mempunyai misi serta visi, segalanya bertitik tolak ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Ada orang yang bahagia di dunia namun akhiratnya digadaikan. Saya tidak percaya, orang yang mengejar akhirat semata akan berjaya kerana, untuk mendapatkan akhirat jambatannya adalah dunia. Pelik bukan kalau ingin berjaya di akhirat tanpa melalui jambatan dunia. Tidak mungkin mereka ini terbang terus menuju akhirat kerana dunia lah satu-satunya jalan menuju akhirat. Bersetuju dengan saya?


Semangat Juang!

Apabila rakan saya, Hisyam, menceritakan tajuk semangat juang ini, saya sedar betapa sebagai manusia biasa mahu atau tidak kita mestilah mempunyai semangat juang yang kukuh serta tidak mudah menyerah kalah.

Yang amat mengagumkan saya, rakan saya ini melakukan 3 kerja sekaligus, pada hemat saya perlu di puji. Malah, harapan saya beliau akan menamatkan zaman bujangnya lebih awal seperti yang drancangnya bersama teman istimewanya.

Ops, saya bukan hendak bercerita mengenai beliau namun pokok pangkal artikel saya kali ini adalah berkaitan Semangat Juang. Saya, apabila inginkan sesuatu , saya tidak pernah putus asa untuk mendaptkannya. Alhamdulillah, apabila saya ingin berkahwin semangat juang yang tinggi ini lah yang saya bawa, begitu juga ketika saya ingin melanjutkan pelajaran ke Kolej Mara Kulim serta UTM. Tetapi faktor doa dan usaha tidak lah menjadi faktor ke belakang.

Apa yang ingin saya simpulkan, di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan. Walaupun peribahasa ini seperti typical namun pada saya ia mempunyai erti yang mendalam. Saya menyedari apabila semangat juang saya lemah maka tiada apa lah yang saya boleh harapkan untuk memiliki yang saya inginkan.

Justeru, buat rakan-rakan, usahlah berputus asa dalam hidup ini. Kukuhkan semangat juang, berusahalah sehingga berjaya. Jangan lupa berdoa kepada Allah, kerana doa adalah senjata bagi seorang mukmin. Bayangkan bagaimana keadaannya berperang tanpa senjata hanya mengharapkan batang tubuh semata. Sedangkan Allah sudah menyediakan senjata ini secara percuma. Bukankah itu satu kerugian yang besar.


Setahun berlalu

Hari ini genap setahun saya bergelar blogger.

“Abang ni, bila lah nak buat buku,asyik tulis blog aja”

Keluh isteri saya, melihat kesungguhan saya menjadi seorang blogger, lantaran di rumah bertimbun buku namun saya hanya setia menjadi pembaca tidak mampu untuk menjadi seorang penulis buku lagi.

Sepanjang setahun menjadi blogger, ramai kenalan baru saya perolehi, Alhamdulillah. Walaupun blog saya bukanlah blog yang popular tetapi saya puas!

Puas, berkongsi dengan rakan taulan , pengunjung alam maya ini. Malah, kehadiran saya di alam maya ini kerana teringat dengan pesan Buya HAMKA, apabila membaca, kita pasti akan mengikatnya dengan tulisan.

Justeru, bermodalkan 96 artikel di blog ini, sudah pasti akan bertambah lagi, saya sentiasa berdoa agar langkah awal saya ini akan di susuli dengan kehadiran buku saya di pasaran.

Oh, sebelum terlupa, mungkin buku sulung saya itu akan bertemakan kepimpinan. Bila agaknya akan terbit? Hanya masa yang menentukan. Tunggu kehadiran buku saya.

Terima kasih buat teman-teman yang sudi mengunjungi blog ini. Moga ada manfaat yang diperolehi. Ameen


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.