Kenangan itu ( Minat dan hobi)
Telah Dihantar Pada: Disember 4, 2009 Filed under: Dunia, Dunia Buku, Hati, Islam, Keluarga, Luahan rasa, Maisurah, Tazkirah Jumaat 1 Comment »Salam Jumaat,
Bangun sahaja pagi ini, fikiran saya ligat berputar-putar. Usai solat, selepas beberapa ketika saya bermain-main dengan putera dan puteri saya, saya perlahan-lahan menekapkan ‘earphone’ E71 saya. Hajatnya untuk mendengar koleksi lagu-lagu nasyid yang berada dalam simpanan telefon tangan saya.
Memang, sejak sedekad yang lalu, seingat saya ketika berusia 13 tahun, saya gemar apabila membaca sesuatu acapkali saya membaca bertemankan walkman. Dunia teknologi memungkinkan saya mengantikan fungsi walkman dengan kemudahan yang di sediakan oleh E71 ini.
Sambil membaca, kenangan saya terimbau pantas ke masa lalu. Lagu-lagu nasyid terlalu nostalgik buat diri saya. Saya bukanlah pelajar mana-mana sekolah agama( biasanya genre nasyid sinonim dengan budak sekolah agama). Tetapi ledakan irama nasyid pada tahun 1997, membuatkan saya turut terkena tempiasnya.
Sebelum itu, lagu Cita-citaku, Assalamualaikum (Nada Murni) adalah cinta pandang pertama saya dengan irama nasyid ini. Pertama kali saya saya mendengar bait-bait lirik lagu ‘Cita-citaku’ dalam satu majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK Taman Dato Harun telah mempersonakan hati dan perasaan saya. Sehinggakan untuk beberapa ketika selepas itu, masih lagi tergiang-giang lirik lagu ini dalam setiap pergerakan saya. Sungguh, saya tidak memahami dengan lebih mendalam apa yang ada dalam lirik ‘Cita-citaku’ ini. Tetapi setelah 10 tahun selepas itu, saya lebih faham apa yang ingin si penyanyi sampaikan. Siapa sangka, anak sulung saya turut berkongsi minat yang sama terhadap lagu ini.
Acapkali, ketika saya dirundung kesedihan, cepat-cepat saya akan putarkan lagu-lagu nasyid. Lirik-liriknya mengungkapkan kepasrahan pada Allah, keluh kesah yang bersandarkan pada Ilahi serta pengharapan yang jitu pada sang Pencipta. Tambahan pula, lagu yang menjadi kegemaran saya, lagu yang bertemakan jihad, taubat pada Allah serta yang menyeru jalan pulang kepada Allah. Saya tidak menafikan bahawa al-Quran adalah penghibur yang paling utama tetapi kelemahan iman saya menyebabkan saya belum merasai nikmat membaca al-Quran itu lagi. Saya pelbagaikan dengan mendengar nasyid kerana liriknya juga bersandarkan apa yang telah terungkap dalam Quran dan Hadis.
Kenapa saya bercerita tentang ini semua? Fikiran saya galau. Saya bersyukur, dengan nasyid ini jugalah saya menerima tarbiyah langsung dari Allah. Kelihatannya terlalu mudah. Dari irama nasyid saya juga gemar membaca dan membeli buku . Kata teman-teman saya ini ulat buku tetapi kata hati saya, “aku ini pembeli buku yang setia”. Saya masih ingat lagi buku pertama yang saya mula-mula beli ketika menjejakkan kaki ke UTM. Selepas 9 tahun berlalu, kalau tidak salah kiraan saya, sudah hampir 500 lebih koleksi buku yang berada dalam simpanan saya. Mungkin tidak sebanyak sasterawan negara koleksi buku saya tetapi seperti yang selalu saya katakan pada isteri saya, seandainya saya mati kelak, gadailah buku-buku ini, manalah tahu ada harganya di pasaran.
Haji Syaful Anwar, insan yang mengenalkan minat ini pada saya. Walaupun arwah bapa saya ini bukanlah pengumpul buku tetapi setiap hari beliau sentiasa setia membeli dan membaca surat khabar. Secara tidak langsung, minat beliau pada akhbar ini turut menarik minat saya. Sampaikan saya tidak boleh makan dengan kenyang tanpa saya membaca akhbar sambil makan ( bukan makan sambil baca akhbar). Walaupun berita yang saya baca itu sudah lebih 10 kali dibaca tetapi saya tetap setia mengulanginya. UTM telah menambah minat saya dengan pengumpulan pelbagai genre buku. Dari politik ke agama, menjangkau siasah, sosial, motivasi dan lain-lain. Saya cukup pantang kalau ada orang yang mempertikaikan minat saya mengumpul dan membaca ini. Saya cukup berbahagia dengan minat dan hobi ini.
Membaca ini bukan sahaja meluaskan horizon pemikiran, tetapi ia juga boleh menjadi terapi yang mujarab. Malah, saya seolah-olah bertemankan dengan cendiakawan yang tidak jemu memberi nasihat, tidak lelah dengan kealpaan saya. Saya tidak malu untuk berguru dengan buku-buku ini kerana saya telah hilangkan hijab yang terbentang antara saya dan buku-buku ini. Mana mungkin saya lupa, keinginan saya untuk berkahwin telah saya ajukan pada teman-teman buku ini. Lalu saya terima saranan-saranan yang diberikan kemudian saya berpegang teguh dengan apa yang telah saya dan buku-buku ini bincangkan. Saya tidak menoleh ke belakang lagi, saya redah sahaja samudera yang bakal saya tempohi. Hasilnya, saya cukup bahagia dengan isteri dan dua orang cahaya mata.
Makanya, saya amat berterima kasih dengan kedua-dua minat saya ini. Minat inilah yang memandu hidup saya. Sudah pastilah yang menghantarnya adalah ALLAH. Hidup ini perlu diteruskan, walau apa pun yang berlaku, saya cukup bahagia.
Wak Tumiran sudah pergi
Telah Dihantar Pada: Jun 19, 2009 Filed under: Akhirat, Doa, Dunia 5 Comments »
Kehidupan ini terlalu misteri.Bukan itu sahaja, ia penuh dengan rencam. Terlalu banyak pancaroba yang perlu ditempuhi. Mujurlah ada manusia yang hadir memberi peringatan . Ya, Nabi Muhammad memberi panduan, bagaiman menghadapi tipu daya dunia. Nabi Muhammad juga membawa al-Quran yang dititipkan oleh Allah melalui pengantaraan Jibrail a.s

Salam, sedekahkan al-fatihah buat wak Tumiran (staf KTC UTM) yang telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi. Saya baru menghubungi En Nazam (Ketua Staf pejabat KTC). Katanya, wak meninggal akibat serangan jantung. Moga roh beliau di rahmati Allah. Ameen (hidup ini untuk mati kekal abadi)- uyun ; 17 Jun 2009, 22:22:37
Pesanan ringkas di atas, tiba-tiba mengamit kenangan saya berbual mesra dengan wak Tumiran beberapa tahun lalu. Siapa sangka, usia wak, tidak salah tekaan saya, hanya sekitar awal 50 an. Namun, takdir Ilahi telah tersurat, tangggal 17 Jun 2009 beliau telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Kehidupan wak Tumiran di alam barzakh sudah pun bermula. Kegetiran beliau menempuh pancaroba dunia, diteruskan dengan soalan-soalan maut daripada Mungkar Nangkir.
Semua orang tahu, gagal menjawab dengan baik soalan-soalan itu, kepala wak Tumiran akan di pukul sekuat-kuatnya. Jauh akan terperosok ke dalam bumi. Harapnya soalan ;
Siapa Tuhan kamu? Apa kiblat kamu??,,,
Wak Tumiran akan berjaya menjawabnya. Sudah pasti semua orang beriman menginginkan kejayaan itu. Apabila berjaya, kita akan hidup seperti di taman-taman syurga di alam barzakh kelak sebelum di himpunkan alam masyar.
Sesungguhnya, mengingati kematian itu akan memotivasikan diri. Wak Tumiran sedang menempuh alam baru. Sedangkan saya selalu sahaj berkeluh kesah, menahan derita ujian dunia yang terlalu perit untuk ditanggung.
Persoalan utama yang selalu bermain di minda saya, ketika di alam barzakh, bergunakah lagi keluh kesah yang selalu saya lakukan di dunia ini? Sedangkan di hadapan sana, Mungkar Nangkir tetap setia menanti untuk menjalankan tugas yang hakiki.
Al fatihah buat mereka yang telah dulu meningglkan dunia yang fana ini
DAKWAH: BAHAYA FUTUR (LEMAS,TIADA SEMANGAT)
Telah Dihantar Pada: Jun 17, 2009 Filed under: Doa, Dunia Leave a comment »
KAEDAH MERAWAT KELESUAN AKIBAT FUTUR
1. Menjauhi maksiat dan keburukan serta punca-punca yang boleh membawa ke arah perlakuannya kerana sebagaimana ibadah boleh menghindarkan diri daripada maksiat, malaikat juga boleh menjauhkan seseorang daripada amal-amal kebajikan.
2. Istiqamah dengan amalan-amalan harian bagi meningkatkan kekuatan rohani dan jasmani. Hanya dengan persiapan rohani dan persediaan jasmani sajalah dapat mengharungi liku-liku perjuangan menegakkan islam yang penuh dengan ranjau dan halangan.
3. Menjaga waktu-waktu yang utama dan menghidupkan amalan ketaatan. Sebagai contoh, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, solat dhuha, membaca zikir dan doa pada waktu-waktu yang tertentu.
4. Menjaga diri daripada bersikap melampau dan terlalu menyusahkan diri dalam urusan agama Allah iaitu dengan bersikap sederhana serta menjaga amalan-amalan kebiasaan mengikut sunnah.melakukan amalan yang sedikit tetapi istiqamah adalah lebih baik daripada melakukan banyak amalan tetapi tidak kekal.
5. Menggabungkan diri dengan jemaah Islam dan meninggalkan uzlah. Hanya dengan menyertai jemaah seseorang itu dapat meningkatkan diri dan tidak mudah tertipu oleh tipu daya syaitan.
6. Mengenali cabaran-cabaran di jalan dakwah.dengan mengenal pasti halangan dan mehnah yang bakal ditempuhi akan menyiapkan para petugas Islam agar tidak mudah berputus asa dan hilang semangat.
7. Bersikap teliti dan melaksanakan kerja secara sistematik. Kerja-kerja yang tidak berperancangan dan dilakukan secara sembrono akan menemui jalan buntu.
8. Selalu bergaul dengan orang yang salih dan banyak melakukan amal soleh.
9. Memberi hak-hak tubuh badan dan jasmani seperti rehat dan penjagaan yang sebaiknya.
10. Memberi ruang pada jiwa untuk menikmati perkara-perkara yang harus seperti bergurau, bermain dan berekreasi.
11. Selalu membaca buku sirah nabi dan sejarah orang-orang yang soleh. Ini kerana buku-buku tersebut mengandungi pelbagai teladan bagi setiap muslim.
12. Sentiasa mengingati mati dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti azab kubur dan hari kebangkitan.
13. Sentiasa membayangkan nikmat syurga dan azab neraka. Ini akan memantapkan lagi iman dan menguatkan semangat untuk memikul amanah Allah.
14. Selalu menghadiri majlis ilmu. Ini kerana ia akan mengembalikan kerajinan pendengar untuk melakukan kerja-kerja Islam.
15. Memahami tasawur Islam dengan mengamalkan kesyumulan agama itu sendiri. Ini akan mengelakkan pemahaman yang cetek terhadap Islam.
16. Sering memuhasabah diri. Insyallah ia akan cepat menyedarkan kita daripada kealpaan.
PENUTUP
Kelesuan petugas-petugas Islam kini adalah akibat tidak memahami bahaya membiasakan diri dengan sifat malas sehingga terdedah kepada pelbagai penyakit seperti futur. Syaitan akan segera mengambil kesempatan untuk melalaikan umat Islam sehingga jauh daripada janji kemenangan (nusrah) yang dijanjikan oleh Allah.
Akhirnya saya meninggalkan U3A-402,Kolej Perdana UTM
Telah Dihantar Pada: Julai 2, 2008 Filed under: Akhirat, Doa, Dunia, Dunia Buku, Hati, Isu Semasa, Kepimpinan, Luahan rasa, Motivasi, Politik, Rumah 7 Comments »Saya tahu, minggu ini berita paling hangat adalah mengenai kes liwat Anwar Ibrahim, akuan bersumpah Raja Petra dan beberapa lagi berita politik yang pada pengamatan saya amat menjijikkan lagi memualkan.
Maaf, di fikiran saya , kerana kuasa orang sanggup berbuat apa sahaja. Walau pun , ia di larang oleh agama.
Apa pun, doa saya agar pemimpin yang bersih , baik serta ikhlas memimpin umat ini dapat memunculkan dirinya. Malu juga, apabila melihat pemimpin Melayu bercakaran tapi pada masa yang sama, pemimpin kaum lain sedaya upaya mengukuhkan kelangsungan bangsa mereka di Malaysia ini. Walaupun berlainan mazhab politik tetapi yang penting survival dan tuntutan kaum mereka di tuntut sejak sekian lama dulu akhirnya sedikit demi sedikit dapat di penuhi.
Ah, persetankan pergolakan politik tanah air!
Akhirnya, hari ini, Rabu, tanggal 2 Julai 2008, selepas waktu Asar, secara rasminya saya akan meninggalakan rumah sewaan saya di KoleJ Perdana ini
Kenangan? Sudah tentu akan bersemi dalan ingatan. Semoga hijrah saya akan mendekatkan diri dengan Allah. Saya merasa sedikit tergugah kerana talian internet tiada di sediakan di rumah baru. Mungkin saya akan rasa canggung dan sedikit ralat kerana aktiviti malam saya mungkin akan berubah. Paling tidak pun, waktu malam saya boleh habiskan menelaah buku yang bertimbun banyak atau pun bermuhasabah.
Sekali lagi, perpindahan ini adalah hijrah bagi diri saya, itu lah harapan saya.
hijrah, di tempat yang baru, suasana yang baru , azam yang baru serta keimaanan yang bertambah kalau turun pun ia tidak terlalu lama. Ameen
Salam Hijrah
Pindah Rumah
Telah Dihantar Pada: Jun 26, 2008 Filed under: Akhirat, Doa, Dunia, Hati, Islam, Isu Semasa, Keluarga, Kepimpinan, Luahan rasa, Mahasiswa, Rumah 4 Comments »Jun 2008, bulan terakhir saya menetap di Rumah Kelamin, Kolej Perdana UTM Skudai!
Saya dan isteri mula mendiami rumah ini pada 27/12/2006, akhirnya pada 30/6/2008 saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada kenangan kami di rumah ini.
Lumayan, dengan hanya membayar RM 420 sebulan, di tambah dengan segala kelengkapan di sediakan termasuk, perabot, internet , air dan elektrik percuma, saya berasa sedih untuk meninggalkan rumah ini.
Dari tinggal berdua, sehinggalah kami didatangi oleh Alya Insyirah , sudah pastilah ada kenangan yang tidak dapat di lupakan. Tambahan pula, inilah rumah pertama di diami setelah berkahwin. Walaupun , berjiran dengan pelajar antarabangsa tetapi, kami dapat menyesuaikan diri.
Harapan kami, suatu masa nanti, kami akan mempunyai rumah yang berdekatan masjid, mempunyai jiran yang baik serta rumah itu selesa buat kami anak beranak beristirehat.
Untungnya berkahwin di usia muda, kami cepat dewasa dengan tuntutan zaman yang kami lalui. Mahu atau tidak , strategi perlu di susun agar kami dapat mencipta ketenangan dalam rumah tangga kami. Perkahwinan tidak akan selesai setelah akad nikah dan mempunyai anak, tetapi kehidupan baru sahaja bermula selepas akad nikah dan mempunyai cahaya mata.
Malah, perkahwinan bukanlah sekada ucapan sayang dan manis namun ia adalah sebuah tanggungjawab. Ya, ia juga adalah sebuah tuntutan mendapat redha Allah. Saya masih belajar mengenai kehidupan, moga kapal yang saya ketuai ini tidak tenggelam di tengah arus dunia yang menipu. Saya ingin menjadi kapten yang berkarismatik, mempunyai misi serta visi, segalanya bertitik tolak ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Ada orang yang bahagia di dunia namun akhiratnya digadaikan. Saya tidak percaya, orang yang mengejar akhirat semata akan berjaya kerana, untuk mendapatkan akhirat jambatannya adalah dunia. Pelik bukan kalau ingin berjaya di akhirat tanpa melalui jambatan dunia. Tidak mungkin mereka ini terbang terus menuju akhirat kerana dunia lah satu-satunya jalan menuju akhirat. Bersetuju dengan saya?






