Buta mata

Alhamdulillah, beberapa ketika ini, saya banyak menghabiskan masa di rumah. Berkhidmat sepenuh masa di rumah. Bermain dengan anak-anak, ringankan tulang membantu isteri. Namun, ada beberapa perkara yang sentiasa bermain di ruang fikiran saya.

Kebetulannya, idea menulis entri ini timbul apabila saya mendengar kembali lagu-lagu nasyid klasik yang tak lapuk dek panas tak lekang dek hujan. Mungkin juga satu kebetulan yang telah Allah takdirkan, saya dilorongkan jalan memahami agama Islam melalui bait puitis lirik nasyid.

Seorang rakan terkejut, apabila saya beritakan padanya, saya tidak pernah bersekolah agama. Ya, nasyid banyak mengajar saya.

Walaupun masih lagi melakukan dosa sehari-harian namun saya bersyukur Allah telah memelihara saya. Doanya, peliharalah kami sekeluarga. Ameen

BUTA MATA – IKHWAN’S
Album : Zikrayat

Buta mata
Tak nampak jalan di dunia
Kerana tidak nampak cahaya
Tidak tahu ke mana hendak dituju
Ke hilir atau ke hulu

Selamatlah di dunia fana ini
Bila mana mata tidak buta
Melalui pengalaman diri
Kerana jalan itu sudah biasa

Ada pedoman
Yang menunjuk kita
Tongkat di tangan membantu jua
Boleh jadi
Orang simpati yang membawa
Tapi jika buta hati menderita

Tidak nampak
Jalan menuju ke akhirat
Negeri yang kekal abadi

Tidak diukur…
Tidak diukur dengan masa
Tidak ada kawan
Yang dapat membantu
Tiada pengalaman
Yang memastikannya
Tiada pedoman yang menunjuk kita
Tidak ada yang pasti menolong kita
Dalam kegelapan terjun ke neraka

Menderita ke negeri yang abadi
Tidak kembali ke dunia lagi
Tiada gunanya penyesalan diri
Oleh itu banyakkan amal dan bakti


Wak Tumiran sudah pergi

5

Kehidupan ini terlalu misteri.Bukan itu sahaja, ia penuh dengan rencam. Terlalu banyak pancaroba yang perlu ditempuhi. Mujurlah ada manusia yang hadir memberi peringatan . Ya, Nabi Muhammad memberi panduan, bagaiman menghadapi tipu daya dunia. Nabi Muhammad juga membawa al-Quran yang dititipkan oleh Allah melalui pengantaraan Jibrail a.s

4

Salam, sedekahkan al-fatihah buat wak Tumiran (staf KTC UTM) yang telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi. Saya baru menghubungi En Nazam (Ketua Staf pejabat KTC). Katanya, wak meninggal akibat serangan jantung. Moga roh beliau di rahmati Allah. Ameen (hidup ini untuk mati kekal abadi)-  uyun ; 17 Jun 2009, 22:22:37

Pesanan ringkas di atas, tiba-tiba mengamit kenangan saya berbual mesra dengan wak Tumiran beberapa tahun lalu. Siapa sangka, usia wak, tidak salah tekaan saya, hanya sekitar awal 50 an. Namun, takdir Ilahi telah tersurat, tangggal 17 Jun 2009 beliau telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

3

Kehidupan wak Tumiran di alam barzakh sudah pun bermula. Kegetiran beliau menempuh pancaroba dunia, diteruskan dengan soalan-soalan maut daripada Mungkar Nangkir.

Semua orang tahu, gagal menjawab dengan baik soalan-soalan itu, kepala wak Tumiran akan di pukul sekuat-kuatnya. Jauh akan terperosok ke dalam bumi. Harapnya soalan ;

Siapa Tuhan kamu? Apa kiblat kamu??,,,

Wak Tumiran akan berjaya menjawabnya. Sudah pasti semua orang beriman menginginkan kejayaan itu. Apabila berjaya, kita akan hidup seperti di taman-taman syurga di alam barzakh kelak sebelum di himpunkan alam masyar.

Sesungguhnya, mengingati kematian itu akan memotivasikan diri. Wak Tumiran sedang menempuh alam baru. Sedangkan saya selalu sahaj berkeluh kesah, menahan derita ujian dunia yang terlalu perit untuk ditanggung.

Persoalan utama yang selalu bermain di minda saya, ketika di alam barzakh, bergunakah lagi keluh kesah yang selalu saya lakukan di dunia ini? Sedangkan di hadapan sana, Mungkar Nangkir tetap setia menanti untuk menjalankan tugas yang hakiki.

 

Al fatihah buat mereka yang telah dulu meningglkan dunia yang  fana ini


Ramadhan

Seperti blog yang lain, kedatangan bulan Ramadhan adalah bahan untuk di hidangkan untuk tatapan pembaca blog. Saya juga tidak terlepas untuk bercakap mengenainya.

Ramadhan sememangnya terlalu nostalgik bagi saya. Siapa yang boleh menafikan, kehebatan serta kelebihan yang telah Allah kurniakan dalam bulan Ramadhan.

Alhamdulillah, saya bersyukur dapat merasai kerinduan terhadap bulan Ramadhan. Saya rindu untuk berdoa di dalamnya, bersedekah walaupun sedikit, membanyakan bacaan al-Quran serta pelbagai juadah ibadah untuk memantapkan diri saya dan keluarga.

Saya tidak dapat melupakan, dalam bulan Ramadhan, saya memperbayakkan doa dan munajat pada Allah agar memudahkan urusan perkahwinan saya. Syukur, setinggi-tinggi kesyukuran kerana Allah telah mengabulkan doa dan munajat saya. Akhirnya kini saya sudah pun  mempunyai seorang anak, Alya Insyirah.

Justeru, saya dapat merasai betapa Allah tidak pernah, YA, tidak pernah sekali pun mengecewakan permintaan hamba Nya yang sentiasa tidak berputusa asa memohon. Pohonlah, kerana dalam bulan Ramadhan setiap masa dan ketika doa kita akan di angkat oleh Allah  untuk di tunaikan hajat yang di ingini.

Baru cerita pasal doa, bagaimana keistimewaan lain yang terdapat dalam bulan Ramadhan. Sudah tentu tidak ternilai banyaknya kelebihan yang ada.

Saya bersyukur buat ke sekian kalinya, saya dapat merasai kenikmatan bulan Ramadhan. Namun saya berdoa agar di perkenankan hajat saya untuk merasai nikmat iman yang jitu dan saya mahu merasai kemanisan iman itu. Lebih manis dari madu sehinggakan saya akan merasai alangkah nikmatnya hidup di bawah redha Ilahi.

Saya akur, sebagai manusia biasa, terlalu banyak dosa dan noda telah saya buat sehingga menghitamkan hati yang bersih ini. Maka, kehadiran Ramadhan ini, moga-moga akan menmbersih malah hati ini seperti di ganti dengan hati bayi yang bersih dan tiada kesan noda dan dosa.

Sebagai hamba , saya memohon. Segala keluh kesah ini, moga-moga Allah berikan jalan untuk saya tenang menghadapinya.

Justeru, Selamat Datang Ramadhan. Mari, kita bersama menyambut kedatangannya dengan hati yang sejahtera


Tazkirah Jumaat

Pernahkan kita terbayang, berapa lama usia kita akan di lanjutkan oleh Allah dari hari ini? adakah jaminan usia kita akan ada untuk tempoh 50 tahun dari sekarang?

Bermuhasabahlah! Renungkan kembali, mungkin ada di kalangan kita sudah terlupa malah hampir tergelincir dari jalan Ilahi. Dekatkanlah jiwa kita pada sang pencipta. Kenangkan, suatu masa nanti pasti muka yang tampan, badan yang sihat, wajah yang cantik, yang selalu kita bangga-bangga kan itu akan hancur luluh. Bukan sahaja luluh, malah, kita pasti akan merasai betapa sakitnya kematian yang menjemput.

Saat itu, apakah lagi yang akan kita bawa pulang bertemu Raabul Izzati? Adakah kita akan bertemu dengan Allah membawa hati yang sejahtera. Gembira berjumpa sang Pencipta atau pun rasa bimbang, takut dan gentar akan azab yang sedia menanti di alam barzakh nanti.

Ketahuilah wahai teman, kubur itu tempatnya terlalu sempit. Gelap gelita yang amat mengerunkan. Sedangkan kita di dunia ini, gembira bersama insan tersayang. Mungkin kita merasai bahagianya hidup di samping curahan kasih sayang ayah, ibu, anak, isteri atau pun kekasih. Tetapi, apakah jaminan apabila kita keseorangan kelak di alam kubur? Di manakah semua permata hati kita yang lain?

Begitulah sekelumit fitnah di alam kubur. Gambaran alam kubur amat menakutkan bagi mereka yang mahu berfikir.


Akhirnya saya meninggalkan U3A-402,Kolej Perdana UTM

Saya tahu, minggu ini berita paling hangat adalah mengenai kes liwat Anwar Ibrahim, akuan bersumpah Raja Petra dan beberapa lagi berita politik yang pada pengamatan saya amat menjijikkan lagi memualkan.

Maaf, di fikiran saya ,  kerana kuasa orang sanggup berbuat apa sahaja. Walau pun , ia di larang oleh agama.

Apa pun, doa saya agar pemimpin yang bersih , baik serta ikhlas memimpin umat ini dapat memunculkan dirinya. Malu juga, apabila melihat pemimpin Melayu bercakaran tapi pada masa yang sama, pemimpin kaum lain sedaya upaya mengukuhkan kelangsungan bangsa mereka di Malaysia ini. Walaupun berlainan mazhab politik tetapi yang penting survival dan tuntutan kaum mereka di tuntut sejak sekian lama dulu akhirnya sedikit demi sedikit dapat di penuhi.

Ah, persetankan pergolakan politik tanah air!

Akhirnya, hari ini, Rabu, tanggal 2 Julai 2008, selepas waktu Asar, secara rasminya saya akan meninggalakan rumah sewaan saya di KoleJ Perdana ini

Kenangan? Sudah tentu akan bersemi dalan ingatan. Semoga hijrah saya akan mendekatkan diri dengan Allah. Saya merasa sedikit tergugah kerana talian internet tiada di sediakan di rumah baru. Mungkin saya akan rasa canggung dan sedikit ralat kerana aktiviti malam saya mungkin akan berubah. Paling tidak pun, waktu malam saya boleh habiskan menelaah buku yang bertimbun banyak atau pun bermuhasabah.

Sekali lagi, perpindahan ini adalah hijrah bagi diri saya, itu lah harapan saya.

hijrah, di tempat yang baru, suasana yang baru , azam yang baru serta keimaanan yang bertambah kalau turun pun ia tidak terlalu lama. Ameen

Salam Hijrah


Pindah Rumah

Jun 2008, bulan terakhir saya menetap di Rumah Kelamin, Kolej Perdana UTM Skudai!

Saya dan isteri mula mendiami rumah ini pada 27/12/2006, akhirnya pada 30/6/2008 saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada kenangan kami di rumah ini.

Lumayan, dengan hanya membayar RM 420 sebulan, di tambah dengan segala kelengkapan di sediakan termasuk, perabot, internet , air dan elektrik percuma, saya berasa sedih untuk meninggalkan rumah ini.

Dari tinggal berdua, sehinggalah kami didatangi oleh Alya Insyirah , sudah pastilah ada kenangan yang tidak dapat di lupakan. Tambahan pula, inilah rumah pertama di diami setelah berkahwin. Walaupun , berjiran dengan pelajar antarabangsa tetapi, kami dapat menyesuaikan diri.

Harapan kami, suatu masa nanti, kami akan mempunyai rumah yang berdekatan masjid, mempunyai jiran yang baik serta rumah itu selesa buat kami anak beranak beristirehat.

Untungnya berkahwin di usia muda, kami cepat dewasa dengan tuntutan zaman yang kami lalui. Mahu atau tidak , strategi perlu di susun agar kami dapat mencipta ketenangan dalam rumah tangga kami. Perkahwinan tidak akan selesai setelah akad nikah dan mempunyai anak, tetapi kehidupan baru sahaja bermula selepas akad nikah dan mempunyai cahaya mata.

Malah, perkahwinan bukanlah sekada ucapan sayang dan manis namun ia adalah sebuah tanggungjawab. Ya, ia juga adalah sebuah tuntutan mendapat redha Allah. Saya masih belajar mengenai kehidupan, moga kapal yang saya  ketuai ini tidak tenggelam di tengah arus dunia yang menipu. Saya ingin menjadi kapten yang berkarismatik, mempunyai misi serta visi, segalanya bertitik tolak ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Ada orang yang bahagia di dunia namun akhiratnya digadaikan. Saya tidak percaya, orang yang mengejar akhirat semata akan berjaya kerana, untuk mendapatkan akhirat jambatannya adalah dunia. Pelik bukan kalau ingin berjaya di akhirat tanpa melalui jambatan dunia. Tidak mungkin mereka ini terbang terus menuju akhirat kerana dunia lah satu-satunya jalan menuju akhirat. Bersetuju dengan saya?


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.