UMNO tidak perlu bersatu
Telah Dihantar Pada: Julai 21, 2010 Filed under: Islam, Isu Semasa, Luahan rasa 2 Comments »Rasanya tidak perlu untuk bersatu dengan parti lawan. Orang tidak mahu. Paling baik, perbaiki diri. Jadilah ahli politik yang budiman. Tunjukkan pada rakyat, UMNO ingin menjadi parti yang terbaik. Sedia berkhidmat untuk rakyat. Rapatkan jurang perbezaan dengan sesiapa sahaja, waima dengan musuh sekalipun. Soal bersatu atau tidak ia akan datang kemudian apabila diri sudah melakukan transformasi.
Mana mungkin mahu berkorban untuk rakyat andai jurang bersama rakyat ibarat langit dengan bumi. Ini belum lagi bercakap soal tuntutan quran dan sunnah. Usahlah terlalu beretorik. Lakukan perubahan sekarang. Kuasa di tangan UMNO. Mengapa tidak melakukan sepakan mula sekarang?
Jangan berputus asa
Telah Dihantar Pada: Julai 19, 2010 Filed under: Hati, Luahan rasa 1 Comment »Semalam (18/7/2010), genap setahun Muhammad Rifaie lahir. Setahun jugalah berlalu kenangan saya melihat kepayahan isteri melahirkan permata hati kami.
Cepat benar masa berlalu, tinggal beberapa hari lagi Ramadan bakal menjelang. Seperti biasa, saya sentiasa akan mempositifkan diri agar dapar menjalani kehidupan ini dengan cemerlang.
Maaf buat yang membaca coretan ini, saya tidak mempunyai maudu’ (perkara) yang ingin dibicarakan. Walaupun ada banyak perkara yang terjadi, tetapi saya tidak tahu dari sisi mana yang harus saya ulas.
Cukuplah sekadar sekuntum doa yang berpanjangan saya titipkan buat semua anggota keluarga (mak dan isteri terutamanya) teman,sahabat dan mereka yang pernah saya kenali atau tidak. Kehidupan ini terlalu manis untuk dinikmati. Setiap detik nadi dan hembusan nafas yang dilepaskan adalah kurnia Allah yang perlu disyukuri. Tiada apa yang harus disesalkan dengan kehidupan yang dilalui.
Buat semua pejuang kebenaran, baik yang berada di lapangan politik, dakwah, pendidikan dan apa sahaja lapangan yang diceburi, saya amat mengagumi usaha dan kecekalan anda semua melakukan sebuah pengorbanan bagi memandaikan dan mencerahkan akal pemikiran ummah demi meraih keredhaan Allah.
Akhir kalam, selagi hidup selagi berjuang. Teruskan kehidupan ini dengan sebaiknya. Pintu kebahagian sentiasa berada dimana-mana, cuma kita perlukan usaha untuk mencari dimanakah ia berada. Terima kasih Tuhanku, kerana memberi petunjuk buatku menempuhi kehidupan ini.
Menjenguk sebentar
Telah Dihantar Pada: Julai 8, 2010 Filed under: Motivasi 1 Comment »Salam.
Cabaran utama dalam kehidupan saya, menjadi seorang yang berdisiplin. Mengambil maksud disiplin dalam kamus dewan ( yang menjadi tema isu yang saya pilih dalam penulisan ini):
latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib
Jadi tepatlah apa yang selalu yang menganggu diri saya, saya kurang berdisiplin.
Kalau tidak silap saya, sejak saya kecil lagi saya terlalu payah untuk berdisiplin. Nasib baiklah, ketika saya berada di tingkatan 2, saya telah diamanahkan menjadi seorang penegak disiplin sekolah. Ada jugalah ilmu disiplin yang telah saya terapkan dalam diri secara tidak langsung.
Mahu atau tidak, kelangsungan hidup yang baik, bahagia dan gembira, pada hemat saya, adalah melalui disiplin yang tegar. Biarlah sesuatu yang dilakukan, buatlah sehabis baik. Perkara yang baik, walaupun sekecil kuman, teruskan, usah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Bukankah hukama’ pernah berpesan, istiqamah adalah lebih baik daripada seribu karamah.
Maka, untuk menerap kedisiplinan saya ini, saya bertekad mahu membaca dengan apa yang ada dalam pustaka peribadi. Membaca kegemaran saya, namun selalunya ia akan tewas dengan pujukan kemalasan saya. Selamat tinggal sebuah igauan ngeri. Kemalasan memusnahkan diri!